Tuhan tidak suka melihat anak-anak-Nya jatuh sakit. Hati-Nya yang penuh kasih lebih sanggup melihat anak-anak-Nya menjalani hidup yang senang. Akan tetapi, Dia mengetahui bahayanya: Apabila percayawan hidup senang, semua kasih mereka terhadap-Nya, semua kata pujian kepada-Nya, dan segala hal yang dilakukan mereka untuk-Nya itu dilakukan hanya kerana keadaan yang senang. Dia mengetahui bahawa hati kita amat mudah berpaling daripada-Nya dan kehendak-Nya lalu berpaling kepada berian-Nya. Oleh itu, Dia membenarkan penyakit dan hal-hal lain yang serupa menimpa kita agar kita akan melihat sama ada kita ini untuk Tuhan atau untuk berian-Nya. Jika dalam setiap sekitaran yang buruk, kita tidak mencari apa-apa melalui diri kita atau untuk diri kita, maka sesungguhnya kita ini mencari Tuhan. Penyakit dapat menyatakan sama ada seseorang itu menuntut kehendaknya sendiri atau pengaturan Tuhan.

Kita masih mempunyai kehendak kita sendiri, kerana kehidupan harian kita terlalu dipenuhi dengan kehendak kita sendiri. Dalam kerja Tuhan, dalam cara kita berurusan dengan orang dan perkara, dalam pemikiran dan pendapat kita, terdapat terlalu banyak kehendak yang tidak dapat dialahkan. Oleh itu, Tuhan terpaksa membawa kita ke ambang maut agar kita melihat betapa celakanya orang yang menentang-Nya. Tuhan membiarkan kita melalui kepedihan dan kepiluan yang mendalam untuk menghancurkan kita dan menyebabkan kita melepaskan kehendak diri yang amat tidak disukai-Nya. Terlalu banyak percayawan yang seolah-olah tidak mendengar apa yang dikatakan Tuan kepada mereka pada waktu kebiasaan, tetapi ketika Tuan membuat tubuh mereka menderita, barulah mereka rela patuh sepenuhnya. Beginilah cara Tuan: Apabila cara nasihat dalam kasih tidak berkesan, maka cara menyebat akan dipakai. Tujuan sebatan Tuan ialah menghancurkan kehendak diri kita. Adalah baik sekiranya setiap percayawan yang sakit memeriksa diri sendiri berkenaan perkara ini.

Selain keinginan dan hasrat kita sendiri, apa yang paling dibenci Tuhan ialah sayang diri kita. Sayang diri merosakkan hayat rohani dan memusnahkan kerja rohani. Jika Tuhan tidak dapat menyingkirkan sayang diri dari dalam kita, kita tidak akan dapat maju jaya dalam perjalanan rohani. Sayang diri khususnya berkaitan dengan tubuh kita; maksudnya kita menyayangi tubuh badan dan nyawa kita. Oleh itu, untuk melenyapkan sayang diri, Tuhan membenarkan banyak penyakit menimpa tubuh kita. Disebabkan kita menyayangi diri sendiri dan takut bahawa tubuh kita menjadi lemah, maka Tuhan membenarkan tubuh kita menjadi lemah. Kita takut melihat tubuh kita menderita, namun Tuhan mengizinkan tubuh kita menderita. Kita teringin hendak sembuh, tetapi penyakit kita semakin teruk hari demi hari. Kita hendak memelihara nyawa kita, tetapi akhirnya malah harapan untuk hidup pun hilang. Sudah tentu penanggulangan Tuhan adalah berbeza bagi setiap individu. Sesetengah penanggulangan adalah lebih berat, sedangkan yang lain lebih ringan. Walau bagaimanapun, niat Tuhan untuk menghapuskan sayang diri tetap sama. Banyak percayawan yang kuat perlu tunggu sehingga mereka menghampiri ambang maut barulah mereka melepaskan sayang diri mereka. Apabila tubuh sudah rosak, apabila nyawa sudah berbahaya, apabila penyakit sudah menelan kesihatan seseorang, apabila kesakitan sudah menghabiskan kekuatan seseorang, dan segala-galanya telah hancur, apa lagi yang tertinggal yang dapat disayangi? Pada saat ini, percayawan mungkin ingin mati, dan dia mungkin menyedari bahawa dia tidak berharapan lagi dan bahawa tidak ada apa-apa lagi yang boleh dipegang dalam sayang diri itu. Malangnya, bahkan sampai takat ini juga dia masih tidak mengetahui bagaimana berpaling dan menerapkan janji penyembuhan daripada Tuhan.

Keadaan menjadi paling sukar apabila hati percayawan jauh berbeza daripada hati Tuhan. Tujuan Tuhan ialah percayawan kehilangan sayang dirinya. Oleh itu, Dia membenarkan percayawan jatuh sakit. Akan tetapi, semakin dia sakit, semakin dia menyayangi dirinya. Semakin dia menjadi lemah, semakin dia menjaga dirinya. Matlamat Tuhan ialah dia akan melupakan dirinya, tetapi dia asyik memikirkan penyakitnya, kesakitan pada tubuhnya, cara untuk disembuhkan, dan sama ada penyakitnya sudah semakin pulih atau lebih teruk. Semua pemikirannya bertumpu pada dirinya! Dia memberi perhatian kepada makanannya dan bagaimana dia harus menahan diri daripada makanan ini dan mengelak daripada makan itu! Apabila dia berasa sedikit tidak selesa, dia menjadi amat resah! Dia memberi banyak perhatian kepada suhu badan dan tidurnya. Apabila dia demam sedikit, atau kesejukan sedikit kerana selesema, atau tidak tidur dengan baik semalaman, dia menjadi amat tidak selesa. Semua ini seolah-olah mengancam nyawanya. Dia amat sensitif tentang bagaimana orang melayannya. Dia amat sensitif tentang berapa kerap orang teringat akannya, prihatin akannya, dan datang melawatnya. Demikianlah dia menghabiskan banyak masa berfikir tentang tubuhnya sendiri serta keadaannya, dan bukan tentang Tuan dan apa yang ingin disempurnakan oleh Tuan dalam dia. Sesungguhnya, fikiran banyak percayawan sama sekali “dihantui” diri mereka sewaktu mereka sakit! Kita sememangnya tidak seberapa sedar betapa banyaknya kita menyayangi diri sendiri. Akan tetapi, ketika kita jatuh sakit, barulah kita sedar bahawa kita begitu menyayangi diri sendiri!

Adakah ini yang diperkenan Tuhan? Dia mahu kita menyedari bahawa sayangi diri merosakkan kita lebih daripada apa-apa yang lain. Dia juga mahu kita mengetahui bahawa kita amat menyayangi diri sendiri. Di tengah-tengah penyakit, Dia mahu kita belajar agar tidak memandang gejala penyakit kita dan memerhatikan kesakitan kita, sebaliknya memandang kepada-Nya dengan segenap hati. Dia mahu kita menyerahkan tubuh kita dengan sepenuhnya ke dalam tangan-Nya dan membiarkan Dia menjaganya. Setiap kali gejala buruk berlaku, gejala itu haruslah sentiasa menjadi amaran kepada kita agar jangan lagi memikirkan tubuh, sebaliknya memikirkan Tuan dengan sepenuhnya.

Akan tetapi, disebabkan sayangi diri, percayawan akan mencari penyembuhan sebaik sahaja dia jatuh sakit. Dia tidak pernah terfikir bahawa dia pertama-tamanya harus menyingkirkan perbuatan jahat dalam hatinya, kemudian barulah dia memohon penyembuhan. Dia hanya melihat harapan untuk disembuhkan. Dia tidak bertanya tentang sebab Tuhan mengizinkan penyakit itu menimpa tubuhnya, tentang apa yang perlu bertaubat, tentang apa yang perlu disingkirkannya, atau tentang apa yang harus ditolaknya supaya dia tidak membazirkan kerja Tuhan. Dia ini mementingkan dirinya. Dia tidak sanggup menjadi lemah dan ingin cepat-cepat kembali menjadi kuat. Oleh itu, dia mencari jalan penyembuhan. Dia bertanya kepada orang dan merayu kepada Tuhan, dengan harapan dapat sembuh segera. Di bawah keadaan ini, Tuhan tidak akan mencapai matlamat-Nya. Meskipun sering kali kita melihat percayawan jenis ini disembuhkan buat sementara waktu, namun penyembuhan itu tidak kekal lama. Selepas suatu ketika, penyakit lama itu timbul semula. Masakan penyembuhan jangka panjang dapat berlaku memandangkan akar penyakit tidak disingkirkan?

Penyakit ialah cara Tuhan berbicara kepada kita. Dia tidak berhajat agar kita mencari penyembuhan secara tergopoh-gopoh, tetapi agar kita patuh dan berdoa. Sayang sekali, percayawan tidak berkata kepada Tuan, “Berbicaralah, hamba-Mu mendengar.” Sebaliknya, dia berharap beroleh penyembuhan segera. Matlamat kita ialah diselamatkan daripada kesakitan dan kelemahan dengan segera. Dengan tergesa-gesa kita cuba sedaya upaya untuk mencari ubat yang terbaik. Seolah-olahnya penyakit mendesak kita mereka cipta segala jenis penawar. Sedikit gejala penyakit sahaja akan menakutkan kita dan memerah otak kita. Tuhan seolah-olah jauh daripada kita. Kita lupa akan keadaan rohani kita. Kita hanya berfikir tentang penderitaan kita dan penawarnya. Sekiranya penyakit berlanjutan, kita akan salah faham terhadap kasih Bapa. Sekiranya ubat berkesan, kita akan memuji kurnia Tuhan. Akan tetapi, kita harus bertanya, adakah usaha kita yang sepenuh hati untuk dilepaskan daripada kesakitan itu benar-benar adalah pimpinan Roh Kudus? Adakah usaha menggunakan kekuatan tubuh daging sebegini akan memuliakan Tuhan?

(bersambung…)