Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Kejadian MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 4
MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 3
MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 4
2017-09-26 | 0 Komen
A- A+ Simpan

5) Pemisahan Air di Bawah Bentangan daripada Air di Atas Bentangan—1:6-8

Seterusnya, kita melihat syarat kelima untuk menjanakan hayat: memisahkan air maut dengan membuat bentangan. Air yang berada di atas bentangan harus dipisahkan daripada air yang berada di bawah bentangan. Memisahkan cahaya daripada kegelapan adalah agak objektif; memisahkan air di atas bentangan daripada air di bawah bentangan adalah lebih subjektif. Kita memerlukan pemisahan yang kedua—pemisahan hal-hal syurgawi daripada hal-hal bumiah (Kol. 3:1-3). Air di bawah bentangan mewakili hal-hal bumiah, manakala air di atas bentangan mewakili hal-hal syurgawi. Sesetengah hal mungkin tidak gelap, tetapi hal-hal itu bersifat bumiah, bukan syurgawi.

Andai kata, sewaktu saya berbicara, saya memakai topi koboi, pakaian koboi, dan kasut but. Ini bukan sesuatu yang gelap namun sesuatu yang bersifat bumiah. Katakan saya memakai tali leher selebar lapan inci yang berwarna hijau, merah, biru, ungu, dan kuning cerah. Jika saya berpakaian sedemikian, maka ternyatalah bahawa saya kekurangan bentangan.

Apa itu bentangan? Bentangan ialah atmosfera, iaitu lapisan udara yang melingkungi bumi. Tanpa atmosfera, tidak ada hayat yang dapat dijanakan di atas bumi. Di bulan tidak ada hayat kerana di sekeliling bulan tidak ada bentangan. Tuhan mencipta bentangan di sekeliling bumi supaya bumi dapat menghasilkan hayat. Setelah diselamatkan, kita bukan sahaja mempunyai cahaya dalam kita, tetapi juga udara, bentangan. Sesuatu telah masuk ke dalam kita untuk memisahkan hal-hal syurgawi daripada hal-hal bumiah, memisahkan hal-hal di atas yang diperkenan Tuhan daripada hal-hal di bawah yang tidak diperkenan-Nya. Apakah ini? Inilah kerja pemisahan salib. Setelah kita diselamatkan dan bergerak maju bersama dengan Tuan, kita akan mengalami salib. Salib memisahkan. Salib memisahkan hal-hal alamiah daripada hal-hal rohani; salib memisahkan hal-hal kudus daripada hal-hal umum, dan salib memisahkan hal-hal syurgawi daripada hal-hal bumiah. Ibrani 4:12 memberitahu kita bahawa Sabda yang hidup dapat memisahkan kita sehingga satu tahap, sukma kita dipisahkan daripada roh kita. Saya mungkin mengatakan atau melakukan sesuatu yang baik; namun begitu, kata-kata atau perbuatan yang baik itu bukan berasal daripada roh, tetapi berasal daripada sukma. Dari segi moral, etika, ataupun konsep manusia, memang tidak ada apa-apa yang salah. Akan tetapi, dari segi rohani, sumber itu bukan daripada Tuhan, bukan daripada syurga-syurga. Kata-kata atau perbuatan tersebut bukan berasal daripada roh, tetapi daripada sukma, daripada bumi. Oleh yang demikian, kita memerlukan pemisahan yang selanjutnya: bukan sahaja pemisahan antara cahaya dan kegelapan, tetapi juga pembezapastian antara roh (hal-hal di atas) dan sukma (hal-hal di bawah).

Semasa kamu membaca Kejadian 1, pernahkah kamu mendapati bahawa pada setiap hari, kecuali hari kedua, setelah Tuhan menyempurnakan sesuatu, Dia melihatnya baik. Akan tetapi, hari yang kedua tidak mempunyai catatan sedemikian. Kejadian tidak mengatakan bahawa Tuhan melihat air dan udara lalu mengatakan semua itu baik. Mengapa? Hal ini demikian kerana udara penuh dengan malaikat jatuh dan air penuh dengan demon-demon. Sila ingat bahawa air merupakan tempat tinggal demon-demon. Pada hari kedua, terdapat sesuatu yang sememangnya tidak baik: di udara terdapat malaikat jatuh dan di dalam air terdapat demon-demon. Kita harus sedar bahawa apa sahaja yang berasal daripada kita, sekalipun pernah dipisahkan oleh salib, tetap merupakan sesuatu yang tidak baik. Apa sahaja yang berasal daripada kita adalah tidak baik. Tuhan tidak dapat mengatakan bahawa itu baik.

6) Pemisahan Darat daripada Air—1:9-10

Selepas hari kedua, kita ada hari ketiga—hari kebangkitan. Pada hari ketiga, yakni hari kebangkitan, tanah kering muncul di bawah bentangan untuk menjanakan hayat. Ini merupakan syarat keenam untuk menjanakan hayat. Dalam seluruh Bible, laut mewakili maut dan darat mewakili Kristus sendiri. Bible memberitahu kita bahawa pada akhirnya, sesudah Tuhan bekerja untuk banyak generasi, laut akan disingkirkan. Selepas pemberontakan Syaitan dan penghakiman Tuhan terhadap ciptaan asal, hampir tidak ada apa-apa yang tinggal kecuali air. Kemudian, Tuhan datang untuk membaik pulih melalui Roh yang mengeram, Sabda yang hidup, dan cahaya yang memisahkan. Pada hari kedua, bentangan memisahkan air, dan pada hari ketiga, Tuhan menghimpunkan air di bawah bentangan supaya tanah kering dapat muncul untuk menghasilkan hayat. Hal ini bermaksud bahawa Tuhan bekerja ke atas air untuk membatasi dan mengehadkan air. Dalam Yeremia 5:22, kita diberitahu bahawa Tuhan menetapkan garisan untuk mengehadkan laut. Hari ini, Tuhan masih bekerja untuk menyingkirkan laut kerana demon-demon berada di dalam laut. Laut mewakili sesuatu yang bersifat kesyaitanan, sesuatu yang iblisi. Akhirnya, sesudah selesainya kerja Tuhan, laut tidak akan wujud lagi. Di langit baru dan bumi baru, hanya ada tanah, tidak ada laut (Wahi 21:1). Laut yang mewakili bahagian utama kingdom Syaitan disingkirkan. Puji Tuan!

Tanah kering muncul untuk menghasilkan hayat, untuk menjanakan hayat. Pada hari ketiga, Kristus keluar daripada maut. Kristus keluar daripada maut dalam kebangkitan semata-matanya untuk menjanakan hayat. Haleluya!

Walaupun kamu telah diselamatkan, kegelapan dalam kamu masih belum dilenyapkan, air masih belum dipisahkan dan dibatasi, dan hal-hal kematian masih belum dihadkan. Akan tetapi, apabila kamu kian bergerak maju bersama dengan Tuan, air maut dalam kamu dibatasi, dihadkan, dan disingkirkan secara beransur-ansur. Tanah kering akan bangkit dalam kamu. Itulah Kristus. Itulah Kristus dalam kebangkitan. Satu Petrus 1:3 memberitahu kita bahawa kita telah dilahirukan menerusi kebangkitan Kristus. Tanpa Kristus yang terbangkit, apa-apa hayat sekalipun tidak mungkin dijanakan.

Tanah dipisahkan daripada air. Tanah melambangkan hayat dan air melambangkan maut. Memisahkan tanah daripada air bererti memisahkan hayat daripada maut.

Apabila kita kian bertumbuh dalam Tuan, kita belajar bagaimana membezakan cahaya daripada kegelapan, bagaimana memisahkan hal-hal syurgawi daripada hal-hal bumiah, dan bagaimana memisahkan hayat daripada maut. Pembicaraan saya mungkin tidak mengandungi apa-apa yang gelap dan apa-apa yang bersifat bumiah; namun begitu, saya berbicara tanpa hayat. Saya tidak ada hayat. Pembicaraan saya benar dan wajar, tanpa apa-apa kegelapan dan apa-apa yang duniawi, tetapi pembicaraan saya penuh dengan maut. Oleh itu, saya harus berdoa, “Tuan Yesus, singkirkanlah segala air maut dalam saya supaya tanah kering dapat muncul untuk menghasilkan hayat.” Pembicaraan saya tidak seharusnya mengandungi apa-apa yang gelap, apa-apa yang bersifat bumiah, dan apa-apa yang membawa maut. Dalam pembicaraan saya, harus adanya tanah kering yang menghasilkan hayat.

Dalam kehidupan keluarga kamu, mungkin tidak ada apa-apa kegelapan, tidak ada apa-apa yang duniawi, namun tidak ada apa-apa juga yang berasal daripada hayat. Apabila seseorang mengunjungi rumah kamu, dia tidak dapat melihat apa-apa yang gelap atau duniawi; meskipun begitu, dia juga tidak dapat melihat apa-apa yang hidup. Apa yang dapat dilihatnya hanyalah maut. Walau bagaimanapun, saya berharap agar sewaktu saya mengunjungi kamu, saya akan melihat bahawa segala-galanya penuh dengan hayat. Kristus, yakni tanah kering, muncul di rumah kamu. Kristus dimanifeskan dan hayat dihasilkan di rumah kamu.

Di atas tanah kering, tidak ada kegelapan dan tidak ada air maut. Apa yang ada hanyalah tanah kering yang dipenuhi setiap jenis hayat. Oleh itu, saya ingin mengulang sekali lagi bahawa apa yang diwahikan kepada kita dalam Kejadian sama sekali merupakan perkara hayat.

MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 3
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)