Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Kejadian MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 3
MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 2
MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 4
MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 3
2017-09-24 | 0 Komen
A- A+ Simpan

2) Sabda Datang—1:3a

Sabda Tuhan datang untuk membawa masuk cahaya. Ini merupakan syarat kedua untuk menjanakan hayat. Ayat 3 berkata, “Dan bersabdalah Tuhan….” Apa yang disabdakan Tuhan merupakan Sabda-Nya. Berbicara bukan perkara yang kecil. Katakan saya tampil di pentas dan kemudian membisu. Kamu memandang saya dan saya memandang kamu. Apakah ini? Ini adalah maut. Jika saya seorang yang hidup, saya tidak boleh berdiri di sini sahaja tanpa bersuara selama satu jam. Selagi saya masih hidup, saya harus berbicara. Jika saya berbicara, itu bermakna saya hidup, dan apa yang saya bicarakan itu akan menjadi sesuatu yang hidup. Tuhan bersabda dan Sabda Tuhan datang untuk membawa masuk cahaya. “Dan bersabdalah Tuhan, Jadilah cahaya.” Sabda divin selalunya membawa cahaya kepada kita. Haleluya!

Pertimbangkan pengalaman kamu sendiri. Mula-mula, Roh itu mengerami kamu. Kemudian datanglah pembicaraan. Menerusi pembicaraan, kamu menerima Sabda yang hidup dan Sabda yang hidup itu mencahayai kamu dari dalam. Apabila Tuhan bersabda, Dia memerintahkan cahaya supaya bersinar daripada kegelapan. “Tuhan yang bersabda, Daripada kegelapan cahaya akan bersinar, ialah Dia yang bersinar dalam hati kami….” Haleluya! Pembicaraan Tuhan membawa masuk cahaya.

Tuan Yesus mengatakan bahawa sesiapa yang mendengar Sabda-Nya dan percaya mempunyai hayat (Yoh. 5:24). Jika kita mendengar Sabda Tuan dan percaya, kita mempunyai hayat. Yakobus 1:18 memberitahu kita bahawa Tuhan melahirkan kita melalui Sabda-Nya.

3) Cahaya Datang—1:3

Sekarang, kita akan melihat syarat ketiga untuk menjanakan hayat: cahaya datang untuk melenyapkan kegelapan yang menyelubungi air maut. Puji Tuan. Hal ini sungguh bermakna. Saya boleh bersaksi bahawa semasa saya diselamatkan, apa yang berlaku benar-benar begini: pertama, Roh datang; kedua, Sabda Tuhan datang; ketiga, cahaya datang. Saya dicahayai dari dalam. Sesuatu bersinar dalam saya. Saya percaya pengalaman kamu juga begitu.

Selain 2 Korintus 4:6, kita mempunyai Yohanes 1:4, 5, dan 9. “Pada mulanya ada Sabda…Dalam Dia ada hayat, dan hayat itu cahaya manusia. Cahaya itu bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak mengatasinya” (Yoh. 1:1, 4-5). Kegelapan langsung tidak dapat mengatasi cahaya. Cahaya selalunya melenyapkan kegelapan. Apabila cahaya datang, kegelapan terus menghilang.

Siapa dan apa itu cahaya? Cahaya ialah Kristus, Sabda hidup Tuhan. Apabila Kristus datang sebagai Cahaya sebenar yang bersinar dalam kegelapan, kegelapan tidak dapat mengatasi-Nya. Dialah Cahaya yang sebenar.

Kita harus ingat akan tiga kedatangan ini: kedatangan Roh, kedatangan Sabda, dan kedatangan Cahaya. Berikutan daripada tiga kedatangan ini, terdapat tiga pemisahan, tiga pembahagian.

4) Pemisahan Cahaya daripada Kegelapan—1:4-5

Pemisahan pertama ialah pemisahan antara cahaya dan kegelapan. Ini merupakan syarat keempat untuk menjanakan hayat. Pemisahan ini bertujuan untuk membezakan siang daripada malam supaya bahagian cahaya diasingkan. Hal ini lebih sukar difahami, tetapi saya akan memberi satu contoh untuk menjelaskannya.

Sebaik sahaja kamu diselamatkan, kamu tidak berupaya membezakan apa-apa; kamu tidak dapat membezakan cahaya daripada kegelapan. Setelah kamu diselamatkan buat suatu jangka masa dan telah bergerak maju bersama dengan Tuan, secara beransur-ansur kamu akan mempunyai suatu pemisahan dalam kamu, dan kamu berupaya membuat perbezaan. Kamu dapat berkata, “Ini cahaya dan itu kegelapan. Saya memilih cahaya, saya tidak mahu kegelapan.” Sebelum kita diselamatkan, kita langsung tidak ada siang; selama dua puluh empat jam, kita hanya ada malam. Kita sentiasa berada pada waktu malam, malam yang gelap berawan tanpa bintang. Akan tetapi, puji Tuan! Sejak hari kita diselamatkan, sesuatu mula menyingsing bagaikan fajar. Itulah hari siang.

Hari siang kamu yang pertama mungkin hanya empat jam lamanya, kemudian waktu petang pun menjelang. Tidak kira berapa lama petang itu, kamu telah pun melalui hari siang kamu yang pertama. Puji Tuan! Selepas sepuluh jam waktu malam, kamu datang ke perhimpunan; dalam perhimpunan itu, kamu nampak fajar. Hari siang datang semula dan kamu bersorak, “Haleluya!” Kemudian kamu pergi ke sekolah atau tempat kerja lalu waktu petang pun menjelang. Jangan berasa kecewa—petang merupakan tanda bahawa pagi akan tiba. Begitu juga, semasa kamu berada pada waktu pagi, bersedialah kerana waktu petang akan datang semula. Kejadian 1:5 bukan mengatakan pagi dan petang tetapi petang dan pagi. Hal ini demikian kerana kita keluar dari waktu malam. “Maka ada petang dan ada pagi, satu hari.” Puji Tuan!

Bagi orang muda, waktu malam selalunya lebih lama, tetapi bagi orang tua, waktu malam lebih singkat. Oleh sebab saya lebih berpengalaman, hari siang rohani saya lebih lama daripada hari siang kamu. Hari siang rohani saya adalah sembilan belas jam dan waktu malam rohani saya cuma lima jam lamanya. Pada masa kita masuk ke Yerusalem Baru, malam tidak akan wujud lagi (Wahi 21:25). Kamu perlu bertumbuh. Siang kamu mungkin hanya sepuluh jam dan malam kamu pula empat belas jam. Kamu perlu bertumbuh supaya waktu siang kamu lebih lama dan waktu malam kamu lebih singkat.

Kita memerlukan pemisahan antara siang dan malam, iaitu pengasingan antara cahaya dan kegelapan. Dalam 2 Korintus 6:14, Paulus bertanya, “Persekutuan apakah yang ada antara cahaya dan kegelapan?” Kata-kata ini juga semestinya merujuk kepada Kejadian 1. Tuhan telah memisahkan cahaya daripada kegelapan; oleh itu, jangan cuba mencampuradukkan kedua-dua ini. Cahaya tidak ada sebarang perkaitan dengan kegelapan. Persekutuan jenis apakah yang ada antara cahaya dan kegelapan? Hal ini bermaksud kita ialah anak cahaya dan kita tidak seharusnya dipersatukan atau berbaur dengan orang yang hidup dalam kegelapan. Kita harus mengekalkan pemisahan ini. Mereka ialah anak kegelapan dan kita pula anak cahaya. Kita semua harus berkata, “Perhubungan apakah yang ada antara cahaya dan kegelapan?” Ini merupakan pemisahan yang sebenar. Jika kita mematuhi syarat ini, kita akan mendapat lebih banyak cahaya.

MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 2
MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 4
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)