Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Kejadian MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 1
MESEJ DUA: PEMBERONTAKAN DAN PENGKORUPAN SYAITAN (4)
MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 2
MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 1
2017-09-20 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Seperti yang telah kita lihat, penciptaan Tuhan diliputi secara menyeluruh dalam bab 1 ayat 1. “Pada mulanya, Tuhan mencipta langit dan bumi” (Ibr.). Pemberontakan Syaitan juga diliputi dalam bahagian pertama ayat 2. “Tetapi bumi telah menjadi ketandusan dan kekosongan, dan kegelapan berada di atas permukaan air dalam.” Dalam ayat 2a, terdapat lima butir utama: hakikat tentang keadaan bumi yang sudah berlainan daripada keadaan asal; ketandusan dan kekosongan; kegelapan dan air dalam. Ingatlah lima butir ini. Setelah bumi dihakimi kerana pemberontakan Syaitan, bumi menjadi tandus dan kekosongan.

Kegelapan merupakan satu lagi petanda bagi penghakiman. Keluaran 10:21-22 dan Wahi 16:10 menunjukkan bahawa kegelapan merupakan akibat daripada penghakiman Tuhan. Ketika Tuhan melaksanakan penghakiman-Nya ke atas Firaun, terdapat kegelapan; apabila Dia melaksanakan penghakiman-Nya ke atas antikristus, juga terdapatnya kegelapan. Justeru, kegelapan dalam Kejadian 1:2a menunjukkan penghakiman Tuhan.

Selain itu, kita tahu bahawa cahaya mengiringi hayat; kegelapan pula selalunya melambangkan maut. Di mana adanya hayat, di situlah cahaya; demikian juga keadaan sebaliknya: di mana adanya maut, di situlah kegelapan. Justeru, kegelapan dalam Kejadian 1:2 juga menandakan bahawa bumi berada dalam keadaan maut.

Sekarang, mari kita lihat frasa “air dalam”. Dalam Bible, air membawa dua makna dan melambangkan dua perkara yang berlainan; satu bersifat positif manakala satu lagi bersifat negatif. Dari segi positif, air selalunya melambangkan sesuatu yang hidup. Air yang mengalir membawa hayat kepada orang dan menghilangkan kehausan mereka. Dari segi negatif, air melambangkan maut. Sebagai contoh, apabila kita dibaptis dalam air, air itu mewakili maut. Air Laut Merah dan air Sungai Yordan juga mewakili maut. Air yang disebut dalam Kejadian 1:2 bukan mewakili hayat, tetapi merujuk kepada maut. Oleh itu, kita menyimpulkan bahawa bumi berada di bawah maut. Bumi bukan sahaja tandus, kekosongan, dan tidak bermakna; bumi juga dipenuhi maut dan berada di bawah maut. Dalam keadaan ini, datanglah Tuhan.

3. Pembaikpulihan dan Penciptaan Tuhan yang Selanjutnya—1:2b—2:3

Kejadian 1:2b bukan merujuk kepada penciptaan asal Tuhan—kerja itu sudah selesai dalam ayat 1—tetapi merujuk kepada pembaikpulihan Tuhan. Tuhan hendak membaik pulih apa-apa yang telah dirosakkan dan Dia hendak mencipta dengan selanjutnya. Sebagai contoh, Tuhan kali ini mencipta manusia. Manusia dicipta oleh Tuhan, bukan dibaik pulih oleh Tuhan. Kejadian 1:2b—2:25 ialah petikan Sabda divin yang menunjukkan kepada kita pembaikpulihan Tuhan terhadap alam semesta yang telah dirosakkan, ditambah dengan penciptaan-Nya yang selanjutnya.

Kita perlu membaca bab 2 ayat 4. “Inilah asal usul langit dan bumi semasa dicipta. Pada hari Yehova Tuhan menjadikan bumi dan langit.” Kebanyakan orang tidak memberi perhatian kepada ayat ini, namun ayat ini sungguh bermakna. Ayat ini menunjukkan kepada kita penciptaan asal Tuhan dan juga pembaikpulihan Tuhan. Bahagian pertama ayat ini berkata, “…langit dan bumi semasa dicipta….” Perhatikan bahawa langit disebut terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan bumi, dan kata kerja yang digunakan di sini ialah “dicipta”. Bahagian kedua ayat ini berkata, “…Pada hari Yehova Tuhan menjadikan….” Di sini, kata kerja berubah daripada “dicipta” kepada “menjadikan”. Seperti yang telah kita tunjukkan dalam mesej pertama, mencipta bererti menghasilkan sesuatu daripada benda-benda yang tidak wujud, dan menjadikan bererti mengerjakan sesuatu substan yang telah wujud untuk menghasilkan substan lain. Kita perlu melihat bahawa pada asalnya, langit dan bumi dicipta. Kemudian, bahagian kedua ayat itu berkata, “…Pada hari Yehova Tuhan menjadikan bumi dan langit.” Adakah kamu nampak perubahan pada urutannya? Mula-mula, Tuhan mencipta langit dan bumi; kemudian, Dia menjadikan bumi dan langit.

Dalam Kejadian 1:1, Tuhan mencipta. “Pada mulanya, Tuhan mencipta langit [dahulu] dan bumi [kemudian].” Kemudian, dari ayat 3 hingga akhir bab 1, Dia menjadikan bumi dan langit. “…Yehova Tuhan menjadikan bumi dan langit” (Kej. 2:4b). Jika kita membaca bab 1 sekali lagi, kita akan melihat bahawa pada hari ketiga, Tuhan memulihkan bumi. Tuhan tidak mencipta bumi kerana bumi sudah wujud, cuma terbenam di bawah air. Oleh itu, Tuhan memulihkan bumi pada hari ketiga. Pada hari keempat, Tuhan juga memulihkan angkasa, iaitu langit. Justeru, dalam pembaikpulihan, bukannya langit kemudian bumi; sebaliknya, bumi dahulu kemudian barulah langit. Akan tetapi, dalam penciptaan, langit wujud dahulu kemudian barulah bumi. Kita dapat melihat kedua-dua hal ini dalam Kejadian 2:4.

Dalam mesej pertama, kita telah pun menegaskan bahawa walaupun dua bab pertama Kejadian nampak seperti catatan tentang penciptaan Tuhan, namun pemikiran yang mendasarinya adalah sama sekali berkenaan dengan hayat. Inilah sebabnya sesetengah orang berpandangan bahawa Kejadian bab 1 dan 2 adalah terlalu ringkas dan pendek jika dijadikan catatan tentang penciptaan. Kita setuju. Bab-bab ini memang terlalu ringkas jika bab-bab ini sekadar sebuah catatan tentang penciptaan Tuhan. Walau bagaimanapun, kita tahu bahawa Bible bukan catatan tentang penciptaan, bukan catatan tentang sejarah, dan bukan juga catatan tentang sebarang kisah. Bible sama sekali sebuah buku hayat. Seluruh Bible tertumpu pada hayat. Jika kita membaca bab pertama Kejadian dengan teliti dan mendapat cahaya daripada Roh Kudus, kita akan menyedari bahawa bab itu sama sekali berkenaan hayat. Bab itu ditulis dari sudut pandangan hayat.

Kamu mungkin mengatakan bahawa perkataan “hayat” tidak ditemui dalam bab ini. Memang benar. Namun demikian, kita dapat menemui banyak butir yang berkaitan dengan hayat. Apabila Tuhan memulihkan tanah pada hari ketiga, segala jenis hayat tumbuhan terhasil. Kemudian lahirlah hayat binatang di dalam air, hayat binatang di udara, hayat binatang di bumi, hayat manusia, dan akhir sekali hayat divin dalam bab 2. Haleluya! Hayat merupakan tumpuan dalam dua bab ini. Jika kita melihat dari sudut pandangan ini, kita pasti dapat memahami catatan dalam Kejadian 1.

MESEJ DUA: PEMBERONTAKAN DAN PENGKORUPAN SYAITAN (4)
MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 2
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)