Baca rencana yang sebelumnya: MERAYAKAN HARI KRISMAS (1)—Adakah ini Perintah Tuhan?

(Rencana berikut dipetik daripada tulisan Watchman Nee dalam Majalah Kristian Terbitan No. 11, pada November 1926 berkenaan perayaan Krismas yang begitu popular dalam kalangan orang Kristian malah juga diraikan sedunia pada zaman sekarang. Marilah kita merenungkan kata-kata ini dengan waras dan penuh takwa kepada Tuhan. Semoga Tuhan memberkati setiap hati yang ingin mencari kebenaran-Nya.)

Mari kita kembali kepada tajuk “Krismas” (hari lahir) Penyelamat. Tuan kita yang arif sudah tahu bahawa mengingati hari ini tidak ada gunanya. Inilah sebabnya kita tidak dapat mencari catatan bulan dan hari Kristus dilahirkan dalam Bible. Semasa menulis Bible, Roh Kudus dengan sengaja menyembunyikan tarikh ini. Dari sini kita dapat melihat niat Tuan dalam hal ini. Namun sedihnya banyak orang masih hendak menduga dengan minda. Bible tidak menyebut tarikh 25 Disember. Kalau begitu, bagaimanakah manusia mencipta tarikh 25 Disember ini?

Encik Edward Greswell telah membuat kajian mendalam tentang persoalan ini. Menurut penyelidikan dan penaakulannya, Kristus sepatutnya dilahirkan pada 5 April. Akan tetapi ini pun sekadar tekaan selepas membuat kajian, dan bukan fakta sejarah. Memandangkan Bible tidak berkata apa-apa, tidak ada seorang yang boleh bercakap dengan pasti bila Tuan Yesus dilahirkan. Walau bagaimanapun, kita boleh berkata dengan pasti bahawa 25 Disember bukan hari lahir Kristus. Lukas 2:8 memberitahu kita bahawa sewaktu Tuan Yesus dilahirkan, gembala-gembala sedang menjaga kawanan domba. Menurut adat dan kelaziman pada zaman itu, apabila sampainya bulan Oktober, gembala tidak lagi menjaga kawanan domba pada kawal waktu malam. Oleh itu, tidak mungkin gembala berada di gurun tandus pada hujung Disember. Tambahan pula, sekiranya Tuan Yesus telah dilahirkan pada pertengahan musim sejuk dalam bulan Disember, bagaimanakah Maria yang sarat mengandung selama sepuluh bulan itu dapat menjelajah dari Nazaret ke Betlehem? Kata-kata Tuan kita sendiri berkata, “Berdoalah agar pelarianmu bukan pada musim sejuk dan bukan pada hari Sabat” (Matius 24:20).

Memandangkan hari lahir Tuan bukan 25 Disember, dari manakah datangnya hari Krismas? Siapakah yang menetapkan tarikh 25 Disember ini?

Kita boleh membaca kata-kata Tertullian, seorang bapa gereja awal. Dia menghuraikan keadaan orang Kristian pada akhir abad kedua dan permulaan abad ketiga seperti berikut:

Sekiranya kita tidak berhak mematuhi perayaan pagan bersama dengan orang pagan, betapa berdosanya jika dikbang-dikbang berkumpul untuk tujuan ini. Siapakah yang boleh tahan dengan keadaan ini? Roh Kudus menyebabkan orang Yahudi berasa malu akan perayaan-perayaan mereka. Dia berkata, “Bulan barumu, [hari Sabat], dan perayaanmu yang ditetapkan dibenci sukma-Ku” (Yes. 1:14). Sedangkan kita tidak mempunyai bulan baru, hari Sabat, dan perayaan yang ditetapkan, yang pernah dihargai Tuhan, bagaimanakah kita boleh merayakan perayaan Zuhal, Bulan Baru dan Solstis Musim Sejuk (Perayaan DongZhi)? Patutkah kita mempunyai pemberian hadiah, bunyi kelenting hadiah Tahun Baru, permainan, dan keriuhan jamuan? Oh, sekiranya orang pagan lebih setia kepada agama mereka, mereka tidak akan mengingini orang Kristian menyertai upacara mereka! Biarpun mereka memahami Hari Tuan…adakah mereka akan menyertai kita? Mereka terlalu takut untuk dikenali orang sebagai Kristian. Namun kita pula tidak takut untuk dikenali sebagai orang pagan!

Petikan ini menunjukkan bahawa asal usul banyak perayaan kudus Kristian hari ini sebenarnya merupakan perubahan bentuk daripada penyembahan berhala. Orang Kristian tidak rela menempatkan diri di atas gunung (Mat. 5:14: “Kamulah cahaya dunia. Mustahil kota yang terletak di atas gunung disembunyikan”). Akibatnya, mereka berundur ke lembah dalam dan cuba menjadi kurang menonjol dan tidak mahu menarik perhatian dunia. (Di sini kami ingin menambah kata-kata dalam kasih: Persatuan Mempromosi Kristianiti hari ini, serta mereka yang jahil tentang hati Tuhan dan Sabda-Nya, cuba menggunakan perayaan kebangsaan dan mengkristiankan perayaan-perayaan itu. Tetapi perbuatan ini menyebabkan orang Kristian menjadi lebih duniawi. Betapa menyedihkan!) Mereka mengikut orang pagan untuk mematuhi perayaan pagan dengan menukar nama dan gelaran. Mengapakah mereka menetapkan 25 Disember sebagai hari lahir Tuan? Sebabnya tiga hari sebelum hari itu ialah solstis musim dingin, iaitu hari siang yang terpendek dalam setahun. Selepas tanggal 25, hari siang mula memanjang. Oleh itu, penyembah berhala di serata dunia menganggap hari itu sebagai hari jadi dewa matahari. Pada zaman itu di Rom, hari ini diraikan secara besar-besaran di dewan panggung besar. Orang Kristian pula cuba mengambil tarikh ini untuk merayakan hari lahir Penyelamat. Jika kita membaca kata-kata Chrysostum, seorang bapa gereja awal, kita akan sedar bahawa tarikh ini ditetapkan oleh manusia semata-mata. Dia berkata:

“Hari ini (25 Disember) baru-baru ini telah diisytiharkan sebagai hari lahir Kristus di Rom, supaya semasa penyembah berhala sibuk dengan upacara duniawi mereka, orang Kristian juga dapat dengan senyapnya menjalankan upacara kudus mereka. Mereka memanggil hari ini sebagai hari jadi Dia yang tidak tertakluk (iaitu matahari). Namun siapakah yang tidak tertakluk seperti Tuan kita yang telah menyingkirkan maut? Mereka memanggil hari ini sebagai hari jadi matahari, tetapi Tuan merupakan Suria keadilbenaran yang sebenar!” Inilah caranya gereja pada zaman itu mengambil perayaan penyembah berhala untuk dijadikan “anak angkat haram” sendiri. Hal ini menjadi punca pencemaran kebenaran Kristus.

Betapa jelasnya bahawa hari Krismas merupakan buatan manusia! Memandangkan hari ini buatan manusia, mengapakah kita perlu mematuhinya? Tuhan tidak memerintahkan manusia agar memperingati hari lahir Anak-Nya! Memandangkan Dia tidak memerintahkan kita berbuat demikian, mengapakah kita harus mematuhinya? Semua anak Tuhan yang setia patut tahu menjawab soalan ini.

Rencana seterusnya: MERAYAKAN HARI KRISMAS (3)—Keadaan Sebenar Perayaan Krismas