Menyeru nama Tuan bukan sahaja rahsia penyelamatan kita, tetapi juga rahsia kenikmatan kita terhadap kekayaan Tuan. Bermula dengan Enos, iaitu generasi ketiga manusia sejagat, dan berterusan hingga percayawan Wasiat Baru, umat yang dipilih dan ditebus Tuhan menikmati penebusan dan penyelamatan Kristus serta segala kekayaan-Nya melalui rahsia ini.

Bible jelas mewahikan bahawa menyeru nama Tuan ialah cara untuk berbahagian dalam Tuan dan menikmati-Nya. Mazmur 145:18 berkata, “Yehova dekat kepada semua yang menyeru-Nya.” Mazmur 18:6 dan 118:5 mengatakan bahawa Daud berseru kepada Tuan dalam kesesakannya. Dalam Mazmur 50:15 Tuan menyuruh kita berseru kepada-Nya pada waktu kesusahan, dan dalam Mazmur 86:7 Daud berbuat demikian. Mazmur 86:5 mengatakan bahawa Tuan adalah baik dan sedia mengampun, dan berlimpah dalam keihsanan kasih terhadap semua yang menyeru-Nya. Mazmur 116:3-4 berkata, “Tali maut melilit aku, dan keseksaan Sheol menimpa aku; aku mengalami kesusahan dan kedukaan. Tetapi aku menyeru nama Yehova.”

Yesaya 12:2-6 memberitahu kita bahawa Tuan ialah penyelamatan, kekuatan, dan kidung kita, dan kita boleh menimba air dengan girang dari mata air penyelamatan. Cara untuk menimba air dari mata air penyelamatan Tuan, iaitu menikmati Tuan sebagai penyelamatan kita, ialah memuji-Nya, menyeru nama-Nya, bernyanyi kepada-Nya, bahkan bersorak kepada-Nya. Dalam Yesaya 55:1-6 kita melihat panggilan Tuhan yang mengagumkan kepada umat-Nya. Dia memanggil orang yang haus datang kepada air, untuk menikmati kekayaan perbekalan Tuan. Cara untuk berbuat demikian ialah mencari Tuan dan menyeru Dia sementara Dia dekat. Yesaya 64:7 menunjukkan kepada kita bahawa dengan menyeru nama Tuan, kita dibangkitkan untuk berpaut pada-Nya.

Ratapan 3:55-57 menjelaskan bahawa semasa kita menyeru Tuan, Dia mendekati kita dan penyeruan kita kepada-Nya ialah pernafasan kita, seruan kita. Melalui ayat-ayat ini, kita sedar bahawa menyeru Tuan bukan sekadar memanggil-Nya tetapi juga mengalami pernafasan rohani (Kel. 2:23), di sini kita dapat menghembus keluar semua kesusahan, kesesakan, kesakitan, dan tekanan emosi kita. Yeremia berbuat demikian semasa dia menyeru Tuan dari kurungan bawah tanah, iaitu lubang yang paling dalam. Semasa kita berada dalam kurungan bawah tanah rohani, di bawah penahanan tertentu, kita boleh berseru kepada Tuan, menghembus keluar keberatan dalam kita, dan dengan itu diselamatkan dari lubang yang paling dalam.

Penyeruan kepada Tuan yang sedemikian bukan sahaja membolehkan kita menghembus keluar hal-hal negatif dalam kita, tetapi juga menghirup masuk diri Tuan berserta segala kekayaan-Nya sebagai kekuatan, kenikmatan, pelipuran, dan rehat kita. Dengan cara ini, kita berbahagian dalam kekayaan Tuan. Dalam Roma 10:12 Paulus memberitahu kita bahawa Tuan adalah kaya kepada semua yang menyeru-Nya. Hari ini dalam kebangkitan, Tuan bersedia dan sedia ada untuk kita berbahagian dalam-Nya dan Dia adalah kaya untuk kenikmatan kita terhadap-Nya. Kita hanya perlu menyeru-Nya sepanjang masa. Dengan berseru kepada-Nya, kita berbahagian dalam dan menikmati segala kekayaan-Nya. Amen.