Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Injil Kisah Injil Menukar Maut Menjadi Hayat
Keperluan Orang yang Bermoral
Menukar Maut Menjadi Hayat
2016-08-17 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Bible: Yohanes 2:1-11

Injil Yohanes berbicara tentang Tuan Yesus sebagai Anak Tuhan datang kepada manusia supaya mereka beroleh hayat-Nya. Walaupun Tuan Yesus menghubungi beribu-ribu orang semasa Dia berada di bumi, namun Yohanes memilih beberapa kes (Yoh. 20:30-31) untuk membuktikan bahawa Kristus ialah hayat untuk memenuhi keperluan kita. Berdasarkan prinsip ini, kita harus menyedari bahawa peristiwa menukar air menjadi wain (2:1-11) bukan sekadar catatan tentang suatu cerita; sebaliknya, peristiwa ini membawa maksud rohani yang mempunyai makna yang khusus. Sekarang, kita perlu mencari makna rohani bagi peristiwa ini.

Prinsip Hayat—Menukar Maut Menjadi Hayat

Apa itu prinsip hayat? Prinsip hayat ialah menukar maut menjadi hayat.

Yesus datang dalam kebangkitan kepada manusia yang lemah dan rapuh. Bagaimana kita tahu bahawa dalam Yohanes 2, Yesus datang kepada manusia yang lemah dan rapuh? Kita mengetahuinya melalui fakta bahawa Dia pergi ke Kana. Kana dalam bahasa Ibrani bermakna “tanah gelagah”. Dalam Bible, gelagah melambangkan manusia yang rapuh (Yes. 42:3; Mat. 12:20). Kedatangan Tuan ke Kana melambangkan kedatangan-Nya ke dalam dunia yang penuh dengan manusia yang lemah dan rapuh. Meskipun manusia di bumi ini lemah dan rapuh seperti gelagah, namun Tuan datang kepada mereka dalam kebangkitan.

Jamuan Perkahwinan Kehidupan Manusia

Tuan Yesus pergi ke Kana dengan tujuan untuk menghadiri jamuan perkahwinan. Kita boleh mengatakan bahawa seluruh kehidupan manusia kita ialah “jamuan perkahwinan”. Ini bermaksud bahawa sepanjang hayat, kita mengharapkan, atau menjangkakan perkara baik berlaku kepada kita.

Perkahwinan merupakan sesuatu yang menyenangkan, yang menjadikan kita berasa gembira. Misalnya, seorang penuntut mungkin belajar bersungguh-sungguh untuk lulus dalam semua peperiksaan. Apabila dia memperoleh ijazah dengan kepujian, orang lain mengucapkan tahniah kepadanya. Upacara penyampaian ijazah itu merupakan sesuatu yang menyenangkan dan boleh dipanggil sebagai “perkahwinan”. Seorang dikbang lain pula mungkin dinaikkan pangkat atau dinaikkan gaji. Ini juga boleh dianggap sebagai “perkahwinan”. Demikian juga, kita mempunyai banyak hal yang menyenangkan, banyak “perkahwinan”, dalam kehidupan manusia kita.

“Wain sudah Habis”

Wain melambangkan hayat, kerana wain anggur ialah hayat anggur. Oleh itu, kenikmatan manusia bergantung pada hayat manusia. Baik pada zaman dahulu mahupun zaman sekarang, baik di Timur mahupun di Barat, jamuan perkahwinan amat bergantung pada wain; ini melambangkan bahawa segala keseronokan manusia bergantung pada hayat.

Apabila hayat sampai ke penghujungnya, segala kenikmatan akan berakhir. Wain yang menjadi pusat kenikmatan majlis perkahwinan sudah habis, melambangkan bahawa apabila hayat manusia sudah habis, kenikmatan hidup manusia juga tamat. Apabila wain sudah habis, keseronokan majlis perkahwinan juga berakhir. Ini bukan sahaja melambangkan bahawa kenikmatan hidup sudah berakhir, tetapi juga melambangkan bahawa hayat manusia sudah berakhir. Tidak kira betapa banyak keseronokan yang kamu nikmati, apabila hayat manusia kamu tamat, segala kenikmatan hidup kamu juga tamat. Tidak kira betapa baiknya isteri kamu, suami kamu, ibu bapa kamu, anak-anak kamu, atau kerjaya kamu, jika hayat kamu sampai ke penghujungnya, keseronokan kamu juga berakhir. Apabila wain sudah habis, jamuan juga berakhir, kerana jamuan bergantung pada wain. Inilah apa yang berlaku pada hari tersebut di Kana, Galilea.

Meskipun majlis perkahwinan ialah majlis yang meriangkan, namun keriangan tersebut hanya sementara. Tidak ada majlis perkahwinan yang berlangsung untuk tempoh masa yang panjang. Segala-gala akan habis, segala-gala akan berakhir. Hanya Tuan Yesus Kristus adalah abadi, kekal buat selama-lamanya. Haleluya, Dia ada di sini untuk menukar air maut kita menjadi wain, menjadi hayat abadi!

Menukar Air Menjadi Wain

Tuan Yesus menukar air maut menjadi wain dengan keajaiban (2:8-9); ini menunjukkan bahawa Dia dapat menukar maut menjadi hayat. Apabila Tuan menukar air kita menjadi wain, wain dalam jamuan perkahwinan kita tidak akan kehabisan. Kita akan mempunyai jamuan perkahwinan yang abadi, yang tidak akan berakhir. Jamuan ini bukan dalam hayat kita yang asal, tetapi dalam hayat baru yang kita terima menerusi kelahiruan. Ketika kita diselamatkan, suatu jamuan perkahwinan yang baru telah bermula dan jamuan itu tidak akan berakhir. Dalam kita sentiasa ada keriangan dan sentiasa ada jamuan perkahwinan kerana kita mempunyai wain divin, iaitu hayat divin—Tuan sendiri.

Tuan tidak memberi kita yang terbaik terlebih dahulu, tetapi memberi kita yang terbaik pada pengakhiran. Hayat pertama, iaitu hayat manusia yang dicipta, adalah hayat yang rendah; hayat yang terbaik ialah hayat yang kedua, iaitu hayat yang divin dan berkekalan. Hayat ini hayat yang terbaik kerana hayat ini hayat Tuhan sendiri dalam Kristus. Dengan itu, keseronokan kita akan kekal buat selama-lamanya. Kita mempunyai kenikmatan yang berkekalan kerana Kristus telah memindahkan kita dari maut ke dalam hayat. Dia sebagai hayat kita yang berkekalan dan abadi ini dapat mengekalkan keseronokan dan kenikmatan kita buat selama-lamanya.

Keperluan Orang yang Bermoral
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)