Nota Editor:

“Paulus memberi amaran kepada kita supaya tidak bergantung pada kekayaan yang tidak menentu. Seorang yang tamak selalunya seorang yang banyak kekhuatiran. Bagi orang yang menaruh kepercayaan kepada Tuan, walaupun tidak banyak menyimpan, Tuan tidak akan membiarkan mereka dalam kesusahan. Dia dapat membekali segala keperluan kita. Akan tetapi, kita perlu sedar bahawa pembekalan Tuhan kepada orang mempunyai syaratnya.”

“Memandangkan segala-galanya ialah milik-Nya, mengapa pula anak-anak Tuhan masih miskin? Mengapakah anak-anak-Nya masih ada kekurangan? Hal ini bukan kerana Tuhan tidak mahu membekali mereka. Sebaliknya, kita perlu memenuhi syarat-Nya sebelum kita dapat menerima bekalan-Nya. Doa dimakbulkan dengan syarat. Malah kita diselamatkan juga dengan syarat, iaitu kita perlu percaya. Setiap perkara mempunyai syaratnya, dan kita perlu memenuhi syarat itu, barulah kita dapat memperolehnya. Begitu juga, jika kita ingin mendapat pembekalan Tuhan, kita perlu memenuhi tuntutan-Nya. Apakah tuntutan-Nya? Tuntutan-Nya ialah memberi. Tuan berkata, ‘Berilah, maka akan diberi kepadamu.’”

Bacaan Bible:

Luk. 6:38 “Berilah, maka akan diberi kepadamu; suatu ukuran yang baik, dipadatkan dan digoncang, malah berlimpah-limpah, kesemuanya akan dicurahkan ke dalam pangkuanmu. Kerana dengan ukuran apa kamu mengukur, itu akan diukur kepadamu sebagai balasan.”

I. MENGURUS KEWANGAN MENURUT PRINSIP TUHAN

Hari ini, kita akan menyentuh hal tentang persembahan dan pemberian benda material. Selepas seseorang menjual segala-galanya, dia masih akan menerima pendapatan; wang masih ada jalan untuk kembali ke tangannya. Jadi, bagaimanakah dia harus mengurus kewangannya? Walaupun seseorang telah mempersembahkan semua wangnya, kita tidak harus berfikir bahawa wang tidak lagi mempunyai pengaruh ke atasnya. Sesetengah orang dapat memberikan semua wang mereka sekali gus, tetapi lambat-laun wang akan menguasai mereka semula. Akhirnya, mereka akan menganggap wang itu kepunyaan mereka. Oleh itu, seseorang percayawan harus belajar memberikan wangnya secara berterusan.

Cara orang Kristian mengurus harta milik sama sekali berbeza daripada orang yang tidak percaya. Cara pengurusan kewangan orang Kristian ialah memberi. Cara pengurusan kewangan orang yang tidak percaya ialah mengumpul. Persoalan yang ingin kita kemukakan pada hari ini ialah bagaimana seseorang Kristian harus hidup di bumi agar dia tidak ada kekurangan untuk selama-lamanya? Tuhan berjanji kepada kita bahawa kita tidak akan ada kekurangan semasa kita hidup di atas bumi. Burung di langit tidak kekurangan makanan, dan bunga bakung di padang tidak kekurangan pakaian yang cantik. Begitu juga, anak-anak Tuhan seharusnya tidak kekurangan pakaian dan makanan. Jika mereka ada kekurangan, maka sudah pasti ada sebab atau puncanya. Dikbang dan dikkak mempunyai masalah kewangan disebabkan mereka tidak mengurus kewangan mereka menurut prinsip Tuhan.

Selepas kamu meninggalkan semua harta milik kamu untuk mengikut Tuan, kamu harus bergerak-hidup menurut prinsip Tuhan. Jika kamu tidak mengikut prinsip Tuhan, akhirnya kamu akan jatuh miskin. Banyak anak Tuhan perlu belajar mengurus harta milik mereka. Jika kita tidak belajar bagaimana mengurus harta milik sendiri, kita akan menghadapi banyak masalah. Hari ini, kita hendak mempertimbangkan bagaimana kita beroleh kekayaan Tuhan.

II. PEMBEKALAN TUHAN MEMPUNYAI SYARATNYA

Sebagai percayawan, kita perlu memandang kepada Tuan untuk makanan, pakaian, dan segala keperluan kita semasa kita hidup di bumi. Tanpa rahmat Tuhan, kita tidak dapat menempuh kehidupan di bumi. Bahkan orang kaya juga perlu memandang kepada Tuan. Pada masa Perang Dunia Kedua, kita melihat banyak orang kaya juga tidak mempunyai pakaian dan makanan. Pada suatu hari nanti, banyak orang akan menyesal. Paulus memberi amaran kepada kita supaya tidak bergantung pada kekayaan yang tidak menentu. Seorang yang tamak selalunya seorang yang banyak kekhuatiran. Bagi orang yang menaruh kepercayaan kepada Tuan, walaupun tidak banyak menyimpan, Tuan tidak akan membiarkan mereka dalam kesusahan. Dia dapat membekali segala keperluan kita. Akan tetapi, kita perlu sedar bahawa pembekalan Tuhan kepada orang mempunyai syaratnya.

Jika Tuhan dapat membela begitu banyak burung di langit, Dia juga dapat memelihara kita. Sesungguhnya, tidak ada orang yang dapat membela begitu banyak burung, dan tidak ada orang yang dapat membekalkan baja yang mencukupi untuk memupuk begitu banyak bunga bakung di padang. Akan tetapi, Tuhan mempunyai kekayaan yang serba mencukupi untuk membela burung di langit dan juga memupuk bunga bakung di padang. Tuhan juga mempunyai kekayaan yang serba mencukupi untuk memelihara anak-anak-Nya. Tuhan tidak ingin melihat kita ada kekurangan. Dia tidak mahu kehidupan kita serba kekurangan. Setiap orang yang terjerumus ke dalam kancah kekurangan adalah disebabkan masalah dirinya sendiri; dia tidak mengurus harta miliknya menurut cara Tuhan. Jika kita mengurus kewangan kita menurut hukum yang ditetapkan Tuhan, kita tidak akan jatuh miskin.

Mari kita membaca Lukas 6:38. Petikan Sabda ini memberitahu kita jenis orang yang akan dibekali Tuhan. Kamu harus melihat bahawa Tuhan sudi membekali. Apabila Dia membekali kita, seperti yang dihuraikan dalam Keluaran, bekalan akan datang dengan berlimpah-limpah, sehinggakan kita makan sampai muntah, malah makan sampai berasa mual. Hal ini tidak menjadi masalah bagi Tuhan. Kita tidak harus memikirkan bahawa Tuhan adalah miskin. Lembu-lembu di atas ribuan bukit ialah milik-Nya, dan domba-domba di atas laksaan bukit ialah milik-Nya. Memandangkan segala-galanya ialah milik-Nya, mengapa pula anak-anak Tuhan masih miskin? Mengapakah anak-anak-Nya masih ada kekurangan? Hal ini bukan kerana Tuhan tidak mahu membekali mereka. Sebaliknya, kita perlu memenuhi syarat-Nya sebelum kita dapat menerima bekalan-Nya. Doa dimakbulkan dengan syarat. Malah kita diselamatkan juga dengan syarat, iaitu kita perlu percaya. Setiap perkara mempunyai syaratnya, dan kita perlu memenuhi syarat itu, barulah kita dapat memperolehnya. Begitu juga, jika kita ingin mendapat pembekalan Tuhan, kita perlu memenuhi tuntutan-Nya. Apakah tuntutan-Nya? Tuntutan-Nya ialah memberi. Tuan berkata, “Berilah, maka akan diberi kepadamu.”

III. BERILAH, MAKA AKAN DIBERI KEPADAMU

Saya pernah melihat beberapa orang dikbang yang berada dalam kesusahan disebabkan tidak setia dalam hal pemberian dan bukan disebabkan pendapatan mereka kurang. Bible menunjukkan kepada kita satu prinsip yang asas — seseorang menjadi kaya jika dia memberi, dan seseorang menjadi miskin jika dia menyimpan. Sesiapa yang mementingkan diri sendiri ditakdirkan menjadi miskin. Sesiapa yang belajar memberi ditakdirkan menjadi kaya. Sabda Tuhan mengatakan begitu dan sabda itu adalah benar. Jika kita ingin mengelakkan kemiskinan, kita perlu sentiasa memberi. Semakin kita memberi, semakin Tuhan memberi kita. Disebabkan kita rela berkongsi dengan orang lain segala lebihan kita, orang lain juga akan berkongsi dengan kita segala lebihan mereka dengan gembiranya pada masa akan datang. Jika kita memberikan satu perdua puluh kepada orang lain, orang lain juga akan memberikan satu perdua puluh kepada kita. Jika kita memberikan satu perseribu kepada orang lain, orang lain juga akan memberikan satu perseribu kepada kita.

Dengan ukuran apa kita mengukur orang lain, itu akan diukur kepada kita oleh orang lain. Dengan cara apa kita melayan dikbang dan dikkak kita, dengan cara itulah Tuhan melayan kita. Jika kita rela memberikan nafkah hidup kita, orang lain juga akan memberikan nafkah hidup mereka kepada kita. Jika kita hanya memberi orang lain benda yang langsung tidak berguna, atau yang tidak akan kita gunakan, sudah tentu orang lain akan memberi kita benda yang langsung tidak berguna atau yang tidak akan digunakan juga. Banyak orang mempunyai masalah pendapatan kerana mereka mempunyai masalah pemberian. Jika pemberian seseorang tidak bermasalah, maka pendapatannya pasti tidak bermasalah. Sabda Tuhan adalah jelas. Jika kita memberi kepada orang lain, Tuan akan memberi kepada kita. Jika kita tidak memberi kepada orang lain, Tuan tidak akan memberi kepada kita. Kebanyakan orang hanya mempunyai iktikad untuk meminta wang daripada Tuhan, tetapi mereka tidak mempunyai iktikad untuk memberi wang. Maka tidak hairanlah bahawa mereka tidak mempunyai iktikad untuk menerima apa-apa daripada Tuhan.

Dikbang sekalian, sejak kita menjadi orang Kristian, kita perlu mempelajari pelajaran asas dalam pengurusan kewangan. Orang Kristian mempunyai cara mengurus kewangan yang unik: Apa yang kita terima bergantung pada apa yang kita beri. Dengan kata lain, cara pengurusan wang bagi orang Kristian ialah penerimaan kita bergantung pada pemberian kita. Orang di dunia memberi menurut apa yang diterima mereka, tetapi kita menerima menurut apa yang kita beri. Sebanyak mana yang kita beri, sebanyak itulah yang kita terima. Semua orang yang cinta akan wang dan yang terlalu berkira-kira tidak dapat menerima wang daripada Tuhan; mereka tidak dapat menerima sebarang pembekalan daripada Tuhan.

Semua dikbang dan dikkak mengetahui bahawa mereka harus memandang kepada Tuan untuk menjaga keperluan mereka. Namun begitu, sejenis orang yang akan dibekali Tuhan — orang yang rela memberi. Perkataan yang digunakan Tuan di sini amat mengagumkan; Dia berkata, “Suatu ukuran yang baik.” Apabila Tuhan memberi kepada manusia, Dia tidak pernah kedekut. Dia mulia hati dan murah hati. Cawan Tuhan kita sentiasa berlimpah-limpah. Tuhan tidak pernah lokek. Apabila Dia memberi, Dia mengatakan bahawa ukuran itu suatu ukuran yang baik, dipadatkan dan digoncang. Pertimbangkan cara kita membeli beras. Kebanyakan penjual beras tidak akan membenarkan kita menggoncang penyukat. Dia akan menyukat beras dan terus menuang beras itu keluar. Akan tetapi, Tuan berkata, “Dipadatkan dan digoncang.” Bukan itu sahaja, malah “berlimpah-limpah”. Tuhan kita ialah Tuhan yang begitu murah hati. Dia memberi kamu dengan memadat, menggoncang, berlonggok-longgok, dan berlimpah-limpah. Walau bagaimanapun, Dia juga mengatakan bahawa dengan ukuran apa kita mengukur orang lain, itu akan diukur kepada kita sebagai balasan. Jika kita terlalu berkira-kira dalam hal memberi kepada orang lain, maka apabila Tuhan menggerakkan orang lain untuk memberi kepada kita, pemberian itu juga dengan cara berkira-kira.

Kita harus memberi kepada orang terlebih dahulu, barulah orang lain akan memberi kepada kita. Kebanyakan orang tidak belajar memberi. Mereka sentiasa mahu Tuhan memakbulkan doa mereka. Kita perlu memberi kepada orang terlebih dahulu sebelum kita dapat menerima. Jika kita tidak menerima sesuatu kebelakangan ini, ini bermaksud bahawa kita mempunyai masalah dalam hal memberi. Saya telah menjadi orang Kristian selama lebih daripada dua puluh tahun, dan sudah tentu saya dapat membuat kesaksian sedemikian. Setiap kali seseorang mempunyai masalah dalam pemberiannya, dia akan mengalami kekurangan.

(bersambung…)