Doa-baca ayat Bible:
“Tetapi yang diperlukan hanya satu, sesungguhnya Maria telah memilih bahagian baik yang tidak akan diambil daripadanya.” (Luk. 10:42)

Setelah Tuan Yesus menyampaikan ibarat orang Samaria yang baik, Dia masuk ke dalam sebuah kampung; ada seorang perempuan yang bernama Marta menyambut Dia ke dalam rumahnya. Dan dia mempunyai seorang adik perempuan bernama Maria yang juga duduk di depan kaki Tuan dan sedang mendengar kata-Nya. Tetapi Marta sibuk ke sana sini dengan banyak layanan, dan datanglah dia kepada Yesus dan berkata, Tuan, tidak pedulikah Engkau bahawa adikku membiarkan aku melayan seorang diri? Suruhlah dia melakukan bahagiannya bersama denganku. Tuan menjawab dan berkata, Marta, Marta, kamu khuatir dan terganggu berkenaan banyak hal; tetapi yang diperlukan hanya satu, sesungguhnya Maria telah memilih bahagian baik yang tidak akan diambil daripadanya (Luk. 10:38-42).

Cerita tentang Marta dan Maria yang segera menyusuli ibarat tentang orang Samaria yang baik amatlah bermakna. Ibarat itu menunjukkan belas kasihan dan kasih Penyelamat yang merupakan manusia dan telah menjadi jiran pendosa; cerita tentang Marta dan Maria pula menyingkapkan hasrat dan keinginan Tuan yang merupakan Tuhan dan telah menjadi Tuan percayawan. Penyelamat memberi kita belas kasihan dan kasih-Nya agar kita dapat diselamatkan-Nya; Tuan menyatakan hasrat dan keinginan-Nya agar kita dapat melayan-Nya. Setelah menerima penyelamatan daripada Penyelamat, kita seharusnya melayan Tuan. Setiap orang yang diselamatkan seharusnya orang yang melayan. Demi penyelamatan kita, kita perlu sedar akan belas kasihan dan kasih Penyelamat; untuk pelayanan kita pula, kita perlu mengenali hasrat dan keinginan Tuan. Pelayanan kita terhadap Tuan tidak harus menurut pendapat, konsep atau pemahaman kita, sebaliknya menurut hasrat dan kehendak-Nya. Menurut catatan buku Injil, pada kali terakhir Tuan naik ke Yerusalem, Dia hanya meminister di situ pada waktu siang. Pada waktu malam, Dia akan beredar dari situ untuk bermalam di Betania. Di sana ada rumah Maria, Marta, dan Lazarus, serta Simon.

Pada suatu hari, ketika Tuan masuk ke dalam rumah Maria, Marta, dan Lazarus, Marta sibuk ke sana sini dengan banyak layanan, sedangkan Maria duduk di depan kaki Tuan dan sedang mendengar kata-Nya. Maka Marta merungut dan mengadu kepada Tuan. Akan tetapi, jawapan Tuan kepada Marta menunjukkan bahawa Tuan lebih mengingini orang yang diselamatkan-Nya dan yang mengasihi-Nya itu mendengar-Nya agar mereka dapat memahami hasrat-Nya, daripada mengingini mereka melakukan hal-hal untuk-Nya tanpa memahami kehendak-Nya. Tuan menghendaki orang yang mengasihi-Nya itu menumpukan sepenuh perhatian pada kata-Nya. Dengan demikian, mereka akan mengenali hasrat dan kehendak-Nya. Sebelum Tuan disalibkan, Maria menyediakan minyak urap untuk mengurapi-Nya. Maria dapat berbuat demikian semestinya kerana dia pernah mendengar kata Tuan dan mengenali hasrat dan kehendak Tuan. Tuan pernah menyingkapkan kematian-Nya kepada para disipal-Nya sebanyak dua kali tetapi mereka tidak mendengar-Nya. Maria pula yang terdengar kata Tuan berkenaan kematian-Nya dan dia telah menerima kata itu serta mencari peluang untuk mengurapi Tuan sebelum kematian-Nya.

Makna Marta dan Maria dalam bahasa Yunani mengandungi pemikiran berkenaan pemberontakan; ini menunjukkan hayat alamiah Maria yang memberontak. Namun melalui belas kasihan dan rahmat Tuan, dia menjadi orang yang tunduk; dia mengasihi dan melayan Tuan bukan menurut pendapat sendiri atau melalui usaha sendiri, sebaliknya menurut hasrat dan kehendak Tuan. Semoga kita semua menjadi sama seperti Maria, yang sentiasa duduk di depan Tuan, mendengar kata-Nya, agar kita memahami hasrat dan kehendak-Nya.

Kidung #415
1 Dalam hadrat-Nya yang rahsia,
Sungguh nyaman ku tinggal!
Oh, mestikanya ajaran
Dari-Nya ku dapatkan!
Khuatir tak dapat mengganggu,
Ujian tak menekan ku;
Saat Syaitan menggoda ku,
Ke hadrat-Nya ku tuju.
2 Saat ku penat dan dah’ga,
Na-ung bawah sayap-Nya,
Ku terteduh, nyaman, bah’gia,
Sumber hidup nan segar;
Penyelamat dampingi ku,
Kami mesra bers’kutu;
Meski cuba, tak terkata
Sabda-Nya nan rahsia.
3 Pada-Nya ku luahkan semua
Ragu, duka dan gentar;
Oh, sabarnya Dia mendengar,
Mendorong ku yang lemah;
Tak pernahkah Dia menegur?
Tentu Dia pura-pura,
Jika Dia tak pernah tegur
Dosa yang dilihat-Nya.
4 Adakah kau ingin tahu
Kemanisan hadrat-Nya?
Tinggallah bawah naungan-Nya,
Pasti kau dapat rasa;
Roh mu sekutu dengan-Nya,
Diam dalam cahaya-Nya,
Wajah mu pasti pantulkan
Imej seri mulia-Nya.