Banyak orang Kristian mencari-cari bagaimana untuk menikmati Kristus dengan cara yang mesra. Banyak cara boleh digunakan untuk melakukan sesuatu kerja, namun kita ingin mengetahui cara yang terbaik. Cara yang terbaik untuk menikmati Tuan ialah membaurkan pembacaan Sabda kita dengan doa kita. Kita harus membaca Sabda untuk menikmati Tuan. Apabila kita membaca Sabda, minda kita tidak harus memimpin. Semasa kita membaca, kita akan memahami sesuatu secara spontan. Kemudian kita boleh memikirkan apa yang kita baca. Selepas berfikir, kita boleh menggunakan apa yang kita fahami dan fikirkan untuk berdoa. Kita harus berdoa dengan melatih roh kita.

Kita tidak harus melatih minda kita untuk mengarang doa. Sebaliknya, kita harus belajar berdoa dengan ayat dan frasa yang putus-putus. Semasa kita bercakap secara mesra dengan orang yang rapat dengan kita, kita tidak mengarang sesuatu secara rasmi, namun kebanyakan kita tidak berdoa dan bercakap dengan Tuan secara mesra. Sebaliknya, kita membuat karangan rasmi. Ini membunuh roh kita dan membantu kita melatih minda kita. Kita harus belajar berdoa menggunakan istilah dan frasa dengan cara yang sangat spontan, tetapi tanpa apa-apa pengarangan yang rasmi. Kita harus belajar bersikap spontan dengan Tuan. Semasa kita berdoa, kita membaca Sabda, dan semasa kita membaca Sabda, kita berdoa. Doa dan pembacaan kita berbaur bersama. Inilah caranya untuk menghadapi Sabda demi menikmati Kristus.

Kristus ialah hayat dan segala-galanya kepada kita untuk kita nikmati. Dari satu segi, Tuan ialah Sabda dan berada dalam Sabda. Dari segi lain, Tuan ialah Roh itu dan berada dalam Roh itu. Selain itu, Sabda jugalah Roh. Yohanes 1:1 mewahikan bahawa Kristus ialah Sabda yang ada pada mulanya. Yohanes 6:63 menunjukkan bahawa Sabda ialah Roh. Efesus 6:17 menunjukkan bahawa Roh itu ialah Sabda. Kita mempunyai Sabda di tangan kita dan Roh itu dalam roh kita. Kedua-dua ini merupakan dua sarana untuk kita menghubungi dan menikmati Kristus. Kehidupan orang Kristian bukan kehidupan agama tetapi kehidupan yang menikmati Kristus sepanjang masa. Gerak-hidup harian kita sebagai orang Kristian dan segala virtu bagi kehidupan Kristian yang wajar terhasil daripada kenikmatan terhadap Kristus. Efesus 5 dan 6 membicarakan isteri tunduk kepada suami, suami mengasihi isteri, anak menghormati ibu bapa, bapa menjaga anak, hamba melayan tuan dengan setia, dan tuan melayan hamba dengan sewajarnya. Kehidupan manusia yang wajar sebegini terhasil daripada pemenuhan Kristus (Ef. 5:18), iaitu kenikmatan terhadap Kristus. Bahkan berjuang dalam peperangan rohani pada penghujung Efesus juga terhasil daripada kenikmatan terhadap Kristus.

Kita dapat menikmati Kristus dengan menghadapi Sabda sewajarnya. Jika kita hendak menikmati Kristus, kita harus tahu bagaimana menghadapi Sabda. Jika kita tidak tahu bagaimana menghadapi Sabda dengan cara yang wajar, yakni cara hayat, kita tidak akan dapat menikmati Kristus dengan secukupnya. Kita juga harus belajar bagaimana berdoa. Berdoa bererti minum Kristus sebagai Roh itu (1 Kor. 12:13). Berdoa juga bererti menghirup Kristus, bernafaskan Kristus (Yoh. 20:22; Rat. 3:55-56). Kita semua harus belajar bagaimana menghadapi Sabda dan bagaimana berdoa, menghirup Kristus sebagai Roh itu. Semasa berdoa, kita bekerja bersama dengan Kristus, memberi Dia ruang dan peluang untuk mengerjahasilkan sesuatu menerusi kita. Oleh itu, kita boleh mengatakan bahawa terdapat dua cara untuk menikmati Kristus. Cara pertama ialah membaca Sabda; cara kedua ialah berdoa. Kita perlu membaurkan pembacaan Sabda kita dengan doa kita.