Jika kita ingin melayan Tuhan dan menyembah-Nya, kita harus melakukan hal ini dalam roh kita demi pemberitaan injil. Pelayanan dan penyembahan dalam Wasiat Baru dilaksanakan menerusi pemberitaan injil. Injil ini tidak ada kena-mengena dengan apa-apa yang lain melainkan Anak Tuhan. Injil Anak Tuhan merujuk kepada Kristus almuhit. Oleh yang demikian, melayan Tuhan dalam injil bermaksud melayan-Nya dalam Kristus almuhit. Dalam Wasiat Baru, injil ialah Kristus itu sendiri. Inilah sebabnya Kisah Para Dutus 5:42 mengatakan bahawa para dutus “menginjilkan Yesus sebagai Kristus itu”.

Dalam Roma 1:9a, Paulus mengatakan bahawa dia melayan Tuhan dalam rohnya. Ini menunjukkan bahawa untuk memberitakan injil Anak Tuhan, kita harus berada dalam roh kita. Pemberitaan injil bergantung pada roh kita. Setiap kali kita memberitakan injil, kita harus melatih roh kita. Hanya dalam buku Roma, Paulus mengatakan bahawa dia melayan Tuhan dalam rohnya.

Paulus menunjukkan bahawa segala yang kita lakukan terhadap Tuhan haruslah dilakukan dalam roh kita, segala apanya kita haruslah dalam roh, dan segala yang kita miliki haruslah dalam roh. Dalam 2:29, dia mengatakan bahawa umat Tuhan yang sejati harus berada dalam roh, dan penyunatan sejati bukanlah secara luaran dalam tubuh daging, tetapi dalam roh. Kemudian, dalam 7:6, dia mengatakan bahawa kita harus melayan Tuhan dalam kebaruan roh. Akhirnya, dalam 12:11, Paulus mengatakan bahawa kita harus membara-bara dalam roh. Memberitakan injil Tuhan sama sekali merupakan perkara berkenaan roh kita.

Kita memerlukan cahaya Tuan untuk menyinari kita berkenaan sifat, perbuatan, dan keyakinan kita dalam tubuh daging. Jika kita dicahayai Tuan, kita akan mengaku bahawa walaupun kita dilahirukan menjadi anak Tuhan dengan memiliki hayat dan sifat divin, kita masih terlalu banyak hidup dalam tubuh daging.

Hanya apabila kita dicahayai oleh Tuhan, barulah kita dapat betul-betul mengatakan bahawa kita tidak yakin pada kelayakan, kebolehan, atau kebijaksanaan alamiah kita. Hanya pada masa itu, kita dapat bersaksi bahawa keyakinan kita sama sekali berada dalam Tuan. Setelah kita dicahayai dengan cara ini, kita akan benar-benar melayan dan menyembah Tuhan dalam roh kita dan melalui Roh itu.

Kita bukan sahaja harus melayan dalam roh kita tetapi juga dalam injil Anak Tuhan. Injil Anak Tuhan merangkumi penebusan, hayat, dan Tubuh. Setiap kali kita menghubungi seseorang, kita harus dapat merasakan sama ada dia telah mengalami penebusan atau tidak. Jika dia telah mengalami penebusan, kita harus menyemak sama ada dia mengenali Kristus ialah hayat atau tidak. Jika dia telah mengenali Kristus, kita harus menyemak sama ada dia mengenali Tubuh atau tidak. Jika orang ini mengenali Tubuh dan mempunyai lebih banyak pengalaman terhadap Tubuh daripada kita, maka kita harus patuh kepadanya agar kita dapat menerima bantuan daripadanya. Inilah jalan yang wajar untuk melayan Tuan dalam roh dan dalam injil.