Dalam artikel ini kita akan melihat apa maksud menyeru nama Tuan dan bagaimana amalan menyeru nama Tuan ini mendatangkan manfaat kepada kita.

Semua orang Kristian sekurang-kurangnya pernah berdoa kepada Tuhan. Tuhan mendengar doa-doa ini, tanpa mengira sama ada mereka berdoa secara senyap, diam, ataupun kuat. Akan tetapi, amalan menyeru, yang merupakan satu bentuk doa, sudah pasti dapat didengari. Dalam Bible, perkataan Ibrani bagi menyeru bermakna memanggil, melaung kepada, iaitu, menyeru dengan suara yang dapat didengari dan perkataan Yunani bermakna menyeru seseorang, memanggil nama seseorang.

Misalnya, apabila seorang kanak-kanak terjatuh dari buaian, dengan serta-merta dia akan berteriak dengan kuat, “Ibu!” Apabila ibunya mendengar jeritannya, ibunya akan berlari kepadanya, mengesat air matanya, dan menenangkannya. Kanak-kanak akan memanggil ibu mereka apabila mereka berasa lapar, letih, atau takut. Mereka menangis kerana mereka tidak berdaya melakukan apa-apa dan mereka memerlukan penjagaan.

Begitu juga, dengan menyeru kepada Tuan, kita sebenarnya mengatakan bahawa kita lapar akan Dia, kita memerlukan Dia, dan kita tidak dapat melakukan apa-apa tanpa Dia.

Bilakah orang memulakan amalan menyeru nama Tuan dengan suara yang dapat didengar?

Mungkin kamu akan rasa terperanjat bahawa Kejadian 4:26 memberitahu kita bahawa amalan menyeru Tuan telah pun mula lama dahulu, iaitu pada generasi ketiga manusia sejagat, semasa cucu Adam, Enos dilahirkan: “Dan bagi Set juga seorang anak lelaki dilahirkan, dan dia menamainya Enos. Pada masa itu, manusia mula menyeru nama Yehova.”

Mengapakah manusia mula menyeru nama Tuan?

Maksud nama Enos memberi kita satu petunjuk. Nama ini bermaksud manusia yang rapuh dan fana. Disebabkan manusia sejagat telah jatuh, maka manusia amat rapuh bahkan tanpa Tuhan. Sejak masa Enos, manusia sedar bahawa terpisah daripada Tuhan, kehidupan mereka adalah kosong dan sia-sia, bahkan mereka rapuh dan fana.

Oleh itu, mereka mula menyeru nama Yehova, iaitu perkataan Ibrani bagi Tuan. Makna nama Yehova ialah Akulah Aku Adalah. Dia ialah Tuhan abadi, iaitu Yang unik itu, yang merupakan Dia Adalah. Segala-gala dan setiap orang tidak terbilang apa-apa. Manusia yang rapuh dan fana sedar bahawa mereka memerlukan Tuhan abadi.

Keadaan manusia hari in sama seperti zaman Enos. Kita tetap rapuh dan fana, dan kehidupan sering kali adalah mengelirukan, penuh kekacauan, bahkan melemaskan kita. Kita terhad dari aspek fizikal dan psikologi. Kita memerlukan Tuhan abadi.

Sekarang mari kita lihat manfaat yang kita terima apabila kita menyeru nama Tuan.

Mula-mula kita diselamatkan. Dalam Wasiat Baru, nama Tuan ialah Yesus. Roma 10:9 berkata, “Jika kamu mengaku dengan mulutmu Yesus sebagai Tuan dan percaya dalam hatimu bahawa Tuhan telah membangkitkan-Nya daripada yang mati, kamu akan diselamatkan.”

Apabila kita percaya dan menyeru nama Tuan Yesus, mengaku Dia dengan mulut kita, kita diselamatkan daripada penghakiman Tuhan buat selama-lamanya. Kita turut diampuni, dijustifikasikan dalam Kristus, dan dilahirkan semula dengan hayat divin Tuhan.

Akan tetapi, kali pertama kita menyeru nama Yesus untuk menerima penyelamatan Tuhan hanyalah suatu permulaan. Selepas tahap permulaan penyelamatan ini melalui menyeru Yesus, kita dapat berterusan menikmati penyelamatan penuh kita dalam Kristus. Ini termasuklah penyelamatan harian; kita diselamatkan setiap hari daripada hal-hal negatif seperti kemarahan, kemurungan, ketidaksabaran, kesedihan, kekecewaan, kekhuatiran, dan sebagainya dengan menyeru nama Tuan Yesus.

Bagaimanakah menyeru nama Tuan dapat menyelamatkan kita daripada semua ini? Apabila kita menyeru, “O Tuan Yesus!” kita bukan menjerit perkataan-perkataan secara sembarangan dan tanpa makna. Itu seakan-akan meneriakkan kata-kata untuk melegakan kita daripada tekanan, sebagaimana yang dilakukan oleh sesetengah orang sewaktu melakukan senaman atau latihan fizikal. Meneriakkan bunyi yang tidak dapat difahami ataupun kata-kata penuh inspirasi mungkin akan membebaskan endorfin dan menyebabkan kita rasa lega buat seketika, namun ia tidak menyelesaikan masalah kita hingga akar umbi.

Dengan menyeru nama Tuan yang dikasihi, kita menghubungi Tuan yang huni dalam roh kita yang merupakan Roh beri-hayat. Dengan menyeru nama Tuan, Dia menyelamatkan kita dengan menyalurkan lebih banyak hayat divin-Nya ke dalam kita.

Manfaat kedua menyeru nama Tuan ialah kita menikmati kekayaan Kristus. Roma 10:12 mengatakan bahawa Tuan segala adalah “kaya kepada semua yang menyeru-Nya”. Kristus mahu kita menikmati kekayaan-Nya dalam kehidupan harian kita.

Kristus kaya kepada kita apabila kita menyeru-Nya. Dia kaya kepada kita dengan menjadi pelipuran, damai sejahtera, kasih, harapan, kesabaran, keihsanan, kesabartahanan, kesabarderitaan, kekuatan, iktikad kita, dan lebih banyak lagi. Oh, betapa kayanya nama Dia!

Amalan menyeru Tuan yang diwahikan dalam Bible bererti kita menyeru Dia yang kita kasihi, Tuan Yesus Kristus yang telah bangkit. Di mana sahaja kita berada dan pada bila-bila masa sahaja, sama ada kita menyeru secara kuat atau senyap, kita akan beroleh Tuan kita yang hidup, sama seperti anak-anak beroleh ibunya apabila dia memanggil ibunya. Tuan Yesus kita sentiasa tersedia—kita hanya perlu menyeru-Nya!

Menyeru Tuan Yesus sama seperti menimba air yang segar dari perigi yang dalam namun tidak pernah kering. Kita menerima Dia sebagai bekalan yang segar dan memuaskan. Roh insani kita mendambakan kekayaan murni yang kita terima apabila kita menyeru nama Tuan yang mestika.

John Newton ialah orang yang menikmati kekayaan nama Yesus. Dalam Kidung, #66 berikut, dia membicarakan pengalamannya:

“Yesus—nama harum, indah,
Hibur hati duka,
Hati girang, mulut gita,
Nama-Mu mestika.”