Filipi 3:12-13

Bukannya aku telah mendapat atau telah disempurnakan, tetapi aku mengejar, mungkin aku dapat memperolehnya, yang untuknya aku juga telah diperoleh Kristus Yesus. Dikbang-dikbang, aku tidak mengira diriku telah memperolehnya, tetapi hanya satu perkara yang aku lakukan, iaitu melupakan hal-hal yang ada di belakang dan merentangkan diri ke arah hal-hal yang ada di hadapan.

Selepas orang Israel memasuki Tanah Kanaan, kota pertama yang berjaya ditawan oleh mereka ialah *Yerikho, sebuah kota yang besar. Selepas kejayaan itu, mereka bersedia untuk menakluki kota yang kedua, iaitu Ai, yang sangat kecil. Mereka ingat bahawa mereka pasti dapat menakluki kota ini dengan senang berdasarkan pengalaman mereka di Yerikho, namun mereka telah gagal sama sekali. (*Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kisah penawanan kota-kota Yerikho dan Ai, para pembaca boleh merujuk buku Yosua bab 6 hingga bab 8.)

Kemenangan di *Yerikho tidak boleh diulangi pada Ai. Walaupun Kota Ai sangat kecil dan Kota Yerikho yang besar itu sudah berjaya ditawan, namun sekiranya kita menyerang Ai dengan menggunakan pengalaman lampau kita, kita akan gagal. Ini bermakna bahawa kita tidak boleh menerapkan kemenangan lampau kita untuk menangani masalah rohani yang dihadapi hari ini. Yang lampau itu sudah menjadi sejarah, dan kudrat baru diperlukan untuk menanggulangi masalah rohani yang baru. Tuhan meletakkan kesukaran baru di hadapan kita supaya kita merasakan keperluan yang baru. Kita tidak harus mengharapkan kemenangan sekali buat selama-lamanya. Mata kita harus dibuka di hadapan Tuhan, dan kita harus sedar bahawa satu-satunya jalan untuk dipenuhi secara berterusan adalah dengan mengalami kerja salib secara berterusan. Melainkan Roh Kudus meneruskan kerja-Nya dalam kita, kita tidak akan sentiasa jayeng. Setiap kali kita ditimpa cubaan atau menghadapi kesusahan, sebarang sejarah atau pengalaman lampau adalah tidak berguna; kita memerlukan kekuatan baru untuk terus maju. Hendaklah kita ingat bahawa segala-gala yang ditentukan Tuan dalam sekitaran kita bertujuan untuk mencipta suatu rasa keperluan dalam kita dan membuat kita sedar bahawa kita tidak dapat jayeng berdasarkan pengalaman lampau. Kemenangan lampau tetap nyata, tetapi cuba mengatasi masalah baru dengan bersandarkan kemenangan lampau pasti tidak akan berkesan. Banyak orang mengenangkan kemenangan lampau mereka dan tertanya-tanya mengapa mereka tidak dapat jayeng sekarang.

Dikbang dan dikkak, kita harus sedar bahawa Tuhan tidak mahu kita makan manna kelmarin. Dengan setiap masalah baru datangnya keperluan baru yang tidak pernah kita sedari sebelum ini. Dikbang dan dikkak, kita tidak dapat terus maju tanpa pengetahuan baru terhadap Tuan dan visi baru tentang-Nya. Setiap kali Dia membawa kita ke jalan buntu dan setiap kali kita mendapati diri kita berseru, “Saya tak larat melakukannya!”, maka bermulalah kemajuan kita. Dengan itu, Tuhan berupaya mencipta dalam kita suatu kedambaan terhadap-Nya. Syukur kepada Tuhan kerana segala-gala yang kita miliki ialah hasil kerja-Nya; bahkan hati yang mencari-Nya itu juga bermula daripada-Nya. Jika terpulang pada kita, agak-agak berapa lama lagi perlu kita tunggu barulah timbul keinginan untuk mencari Dia?

Walau bagaimanapun, hal ini sudah pasti ada syaratnya: Kita harus sedar akan kelemahan dan ketakberdayaan kita, serta halangan dan kesombongan tubuh daging kita. Sekiranya kita tetap penuh keyakinan terhadap diri sendiri dan berfikir bahawa kita sudah kaya lantas tidak dapat melupakan kemenangan kita di Yerikho, maka mustahil Tuhan dapat memberi kita hati yang mencari biarpun Dia ingin berbuat demikian. Jika kita tidak dapat melupakan kemenangan lampau kita, kita pasti tidak akan maju. Jika kita fikir kita akan jayeng berdasarkan pengalaman kita yang pertama, kita sudah pun tewas. Kemenangan lampau sama sekali tidak dapat menjadi kekuatan kita sekarang. Kita harus ingat bahawa Tuhan memberi kita supaya Dia dapat menggali ke batin kita dengan lebih mendalam, dengan itu dapatlah Dia lebih banyak memenuhi kita dengan diri-Nya.

(Watchman Nee)