Alkisah di sebuah negeri ada seorang perompak yang terkenal jahatnya. Raja negeri itu menghantar pasukan tentera untuk menangkapnya. Dengan susah payah akhirnya perompak itu berjaya ditangkap. Disebabkan hal ini serius, raja itu sendiri tampil menghakimi si perompak. Yang menghairankan, perompak itu segera mengaku bersalah tanpa ragu-ragu, tetapi berikutan itu dia berkata kepada raja, “Dosa hamba memang patut dihukum mati, malah mati berkali-kali. Akan tetapi, di sini hamba ada sebuah harta pusaka. Sesiapa yang layak menerima harta ini dan mengikut tatacaranya pasti akan makmur sejahtera.” Raja itu bertanya, “Apa itu harta pusaka engkau, dan apa tatacaranya?” Si perompak pun menjawab, “Hamba mempunyai sebiji benih emas. Apabila ditanam, benih ini akan membuahkan emas beratus-ratus kali ganda.” Raja itu membalas, “Jikalau engkau mempunyai benih ini, awal-awal lagi engkau sudah kaya-raya, kenapa pula perlu menjadi perompak?” Perompak pun menjawab, “Benih ini mesti ditanam oleh seorang yang tidak pernah berbuat dosa seumur hidupnya, barulah ia akan bertumbuh dan berhasil. Biarpun seseorang itu tidak berbuat dosa di luar tetapi berbuat dosa di dalam hati, benih ini tetap tidak akan berkesan.” Perompak itu pun mempersembahkan sebiji benih emas kepada raja. Pada ketika itu, raja berfikir dalam hati, “Semalam baru sahaja beta berbuat satu dosa besar, mana boleh beta menanamnya?” Lantas baginda memandang ke arah panglima-panglima tenteranya, “Adakah siapa-siapa daripada kalian yang boleh menanam benih ini?” Semua panglima menggeleng-geleng kepala. Lalu baginda berpaling kepada cendekiawan-cendekiawan dan bertanya, “Siapakah antara kalian yang tidak pernah berbuat dosa dan boleh menanam benih ini?” Semua juga menggeleng-geleng kepala. Pada saat itu, melaunglah si perompak dengan suara yang kuat, “Ampun tuanku! Semua panglima dan cendekiawan tuanku adalah berdosa, mengapakah hanya dosa hamba sahaja yang dikutuk? Mohon lepaskan hamba!”

Pembaca sekalian, dapatkah anda menanam benih ini? Jika tidak, ertinya anda juga seorang pendosa. Semua orang merupakan pendosa, daripada raja yang tertinggi sehinggalah perompak yang terhina. Bible berkata, “Tidak ada yang adilbenar, seorang pun tidak ada;…tidak ada yang berbuat baik; malah seorang pun tidak ada….semua telah berbuat dosa dan terbelakang daripada kemuliaan Tuhan” (Roma 3:10, 12, 23). Mungkin kamu berkata, “Saya tidak melanggar undang-undang, mengapa pula saya pendosa?” Walau bagaimanapun, erti Bible berkenaan seorang pendosa tidak sama dengan pemahaman umum. Kebanyakan orang menyangka bahawa orang yang berbuat dosa itu barulah pendosa; orang yang tidak berbuat dosa bukanlah pendosa. Namun Bible mengatakan bahawa “menerusi satu orang, dosa telah masuk ke dalam dunia” (Roma 5:12) dan “menerusi keingkaran seorang manusia, banyak telah dikonstitusikan sebagai pendosa” (ay. 19). Satu orang dan seorang manusia ini ialah Adam. Disebabkan Adam ingkar dan makan buah pohon pengetahuan baik dan jahat, maka Syaitan sebagai punca dosa, berserta hayat dosa dan sifat dosa telah masuk ke dalamnya. Sifat dosa ini diwarisi turun-temurun seperti gen dalam manusia. Manusia menjadi satu bangsa atau spesies dosa. Oleh itu, bukan kerana kita berbuat dosa barulah kita pendosa. Kita berbuat dosa kerana kita memang pendosa.

Dosa mempunyai dua aspek: sifat dosa dan perbuatan dosa. Sifat dosa adalah dalaman, termasuk niat dan motif untuk berbuat dosa. Perbuatan dosa pula adalah luaran, berpunca daripada sifat dosa, iaitu kita melakukan tindakan tertentu yang dikutuk, tidak disenangi oleh zimah dan hati nurani, malah sesuatu yang bukan kesanggupan kita. Paulus berkata, “Bertekad ada padaku, tetapi mengerjahasilkan kebaikan tidak. Kerana aku tidak melakukan kebaikan yang kuingini; sebaliknya, kejahatan yang tidak kuingini, ini aku amalkan” (Roma 7:18b-19). Inilah pengalaman kita.

Syukur kepada Tuhan. Dia menyedari kelemahan dan ketidakberdayaan kita. Inilah sebabnya Tuan Yesus datang untuk mati di atas salib. Dengan menghakimi Yesus di atas salib, Tuhan telah menyempurnakan penebusan untuk kita. Selain itu, Tuhan juga memberi hayat kepada kita, memberi penyelamatan yang ajaib kepada kita. Kristus telah mati untuk manusia sejagat, dengan itu menebus kita daripada dosa, dan pada hari ketiga, Dia bangkit untuk menyalurkan hayat kepada kita. Hari ini kamu tidak perlu bergelut. Kamu hanya perlu percaya ke dalam Dia dan menyeru nama-Nya “O Tuan Yesus” untuk menerima Dia. Dengan demikian, kamu akan mengalami penebusan dan penyelamatan-Nya. Tiap-tiap hari Dia akan menyelamatkan kamu daripada dosa, maut, dan Syaitan. Kamu juga akan menjadi anak Tuhan dan mengalami perubahan menerusi hayat-Nya.