Kidung #571
1 Yesus, Dialah Kawan kita,
Tanggung dosa dan duka!
Kita berhak bawa semua
Dalam doa pada-Nya!
Banyak damai kita hilang,
Sia-sia kita derita,
Ker’na kita tak membawa
Semua di dalam doa!
2 Adakah cubaan, goda,
Derita dan sengsara?
Kita tak harus kecewa,
Tapi doa pada-Nya.
Siapa s’perti-Nya setia,
Tanggung s’mua duka kita?
Yesus tahu lemah kita,
Bawa s’mua dalam doa.
3 Adakah lemah, berbeban,
Dilanda risau, resah?
Dia masih Pelindung kita,
Pada-Nya kita doa.
Adakah teman mu khianat,
Berdoalah pada-Nya;
Pelukan-Nya lindungi mu,
Yesus Pelipur kita.

Bible mencatatkan banyak peristiwa Tuan berbicara kepada orang. Namun Bible tidak mencatatkan banyak peristiwa orang datang kepada Tuan untuk memberitahu Dia sesuatu. Hanya terdapat dua petikan Bible yang menyebut tentang hal ini. Peristiwa pertama didapati dalam Matius 14, manakala peristiwa kedua tercatat dalam Markus 6. Dua petikan Bible ini menunjukkan dua gambaran yang berlainan. Satu ialah gambaran yang sedih; satu lagi ialah gambaran yang gembira. Satu peristiwa berkenaan disipal-disipal Yohanes pembaptis menyedari bahawa guru mereka telah mati dengan tragik. Alangkah sedihnya! Selepas disipal-disipal Yohanes mengebumikan guru mereka, mereka datang memberitahu Yesus tentang hal tersebut. Satu lagi gambaran menunjukkan dua belas disipal Tuan telah diutus untuk memberitakan injil, menyembuhkan yang sakit, dan mengusir demon-demon. Ini merupakan pengalaman yang gembira, lalu disipal-disipal datang memberitahu Tuan pengalaman ini.

“…Menangis bersama dengan mereka yang menangis.” (Roma 12:15b)

Sering kali kita berfikiran bahawa Tuan adalah agung. Meskipun Tuan kita adalah agung, namun Dia tidak mengabaikan perkara-perkara kecil. Kita mungkin berfikiran bahawa apa-apa yang kita beritahu Tuan haruslah hal yang besar, jika tidak Dia tidak akan mendengar. Kita tidak sedar bahawa sebenarnya Tuan kita tidak pernah mengabaikan perkara-perkara kecil. Dia sudi mendengar segala-gala berkenaan kita. Dia sudi mendengar disipal-disipal-Nya, dan Dia sudi mendengar disipal-disipal Yohanes. Disipal-disipal Yohanes sudah lama mengikut guru mereka. Kita boleh bayangkan betapa rapatnya hubungan mereka dengan Yohanes. Apabila guru mereka dihukum mati, bagaimanakah mungkin mereka tidak berasa sedih hati? Bible tidak mengatakan bahawa mereka mengadu tentang Herod, dan juga tidak mengatakan mereka menangis sepanjang hari. Mereka hanya mengebumikan tubuh Yohanes kemudian datang memberitahu Yesus.

Sesetengah orang mengebumikan orang mati mereka kemudian berkata, “Segala-galanya sudah habis. Aku telah kehilangan segala harapan. Dia telah mati, dan aku telah kehilangan segala-galanya. Segala-gala kepunyaan aku telah meninggal bersama dengannya.” Namun sebenarnya inilah masa kita harus datang dekat kepada Tuan. Kita boleh memberitahu Tuan segala duka nestapa kita. Pada masa ini memang tidak berguna jika kita enggan mengebumikan mayat, menangis dan tinggal dalam kedukaan sepanjang masa. Kita harus mengebumikan mayat, sebagaimana yang dilakukan oleh disipal-disipal Yohanes, dan pergi memberitahu Tuan. Kita harus menyedari bahawa apabila kita betul-betul bercakap dengan Tuan dan mencurahkan hati kita kepada-Nya, hubungan kita dengan Tuan menjadi satu langkah lebih intim lagi,  dan kita mengenali Tuan dengan lebih banyak lagi. Hubungan yang intim dengan Tuan pada masa ini jauh lebih mesra daripada persekutuan biasa kita dengan-Nya. Melalui perhubungan sebegini kita maju dalam hayat. Jika seseorang tidak pernah mengalirkan air mata di hadapan Tuan, jika dia tidak pernah berkongsi kegirangan atau kedukaannya dengan Tuan, dan jika dia tidak pernah bercakap dengan Tuan tentang hal-hal peribadinya, maka dia tidak pernah mempunyai persekutuan yang intim dengan Tuan; dia tidak pernah mempunyai hubungan yang mendalam dengan Tuan.

“Bergirang bersama dengan mereka yang girang…” (Rom 12:15a)

Tuan bukan sahaja ingin mendengar duka kita; Dia juga ingin mendengar kegirangan kita. Banyak orang pergi kepada Tuan ketika mereka menghadapi kesukaran, tetapi berapa banyakkah yang berdoa ketika mereka girang? Apabila manusia berada dalam duka, secara semula jadinya mereka akan meminta bantuan Tuan. Namun apabila mereka gembira, memang senang lupa memberitahu Tuan.

Pernah sekali Encik Charles Spurgeon pergi ke kawasan luar bandar bersama dengan seorang kawan untuk menunggang kuda. Pada suatu ketika dia sangat gembira, lalu dia melompat dari kudanya, dan mengajak kawannya berbuat demikian juga. Kawan itu terkejut dengan aksinya lalu bertanya kepadanya apa yang hendak dilakukannya. Dia berkata, “Memandangkan Tuhan telah memberi kita kegirangan sebegini, biarlah kita bersyukur kepada-Nya pada saat ini juga.” Mereka berdua berlutut di atas jalan dan berdoa. Kita tidak akan ketawa sepanjang masa, tetapi setiap kali kita mempunyai kegirangan, kita harus memberitahu Tuan. Kita harus ingat akan Tuan pada saat kegirangan dan berkongsi kegirangan kita dengan-Nya. Tuan tidak pernah menegur kita kerana mempunyai terlalu banyak kegirangan. Dia menjaga perasaan kita. Oleh itu, kita tidak harus lupa memberitahu Tuan tentang kegirangan kita.

Tuan kita gembira mendengar duka kita, dan Dia gembira mendengar kegirangan kita. Dialah Tuan yang boleh kita beritahu segala-galanya. Memandangkan kita mempunyai Tuan sedemikian, mengapakah tidak memberitahu Dia segala rahsia hati kita?