Bacaan Bible: Yohanes 3:1-13

Dalam Yohanes 3, kita melihat bahawa seorang ahli agama Yahudi yang bernama Nikodemus telah pergi berjumpa dengan Tuan Yesus. Dia datang kepada Tuan pada waktu malam dan berkata kepada-Nya, “Rabi, kami tahu bahawa Engkau datang daripada Tuhan sebagai seorang guru, kerana tidak ada orang yang dapat melakukan tanda-tanda yang Engkau lakukan ini melainkan Tuhan ada bersama dengannya” (ay. 2).

Nikodemus ialah seorang yang mempunyai standard yang tertinggi, dan kita perlu mempertimbangkan sifat-sifat yang ada padanya. Pertama, dia seorang guru yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam pendidikan. Sebagai guru orang Yahudi, dia mengajarkan Wasiat Lama, iaitu Sabda Suci. Kedua, Nikodemus ialah “pemimpin orang Yahudi”. Dia mempunyai kedudukan yang dihormati dan juga memiliki kuasa. Ketiga, dia seorang yang sudah lanjut usianya. Sebagai orang yang sudah lanjut usia, dia mempunyai banyak pengalaman. Keempat, dia sememangnya seorang yang bermoral, seorang yang baik. Jika kamu melihat cara dia berbicara, kamu akan sedar bahawa dia seorang yang bermoral. Kelima, Nikodemus seorang yang benar-benar mencari Tuhan. Walaupun dia agak takut akan orang Farisi, dia masih datang berjumpa dengan Tuan Yesus pada waktu malam. Ini menunjukkan bahawa dia mencari Tuhan. Keenam, dia amat rendah diri. Nikodemus seorang yang tua dan barangkali berumur enam puluh atau tujuh puluh tahun, namun dia masih datang berjumpa dengan Tuan Yesus, seorang yang hanya berumur tiga puluh tahun lebih. Hakikat bahawa seorang yang begitu berpengalaman, berpendidikan, dan yang lanjut usianya sanggup berjumpa dengan seorang yang jauh lebih muda daripadanya menunjukkan kerendahan hatinya. Bukan itu sahaja, walaupun Nikodemus seorang guru, dia memanggil Tuan Yesus sebagai Rabi. Dalam kalangan orang Yahudi, memanggil seseorang sebagai Rabi bererti kamu merendahkan diri. Ketujuh, Nikodemus seorang yang jujur. Tutur katanya menunjukkan kejujurannya. Dapatkah kamu menjumpai orang yang lebih baik daripada Nikodemus? Dia seorang yang mempunyai standard yang tinggi, berpencapaian tinggi, dan bermoral.

Disebabkan budaya manusia dan agama Yahudi, maka Nikodemus beranggapan bahawa manusia perlu berkelakuan baik. Memandangkan manusia perlu berkelakuan baik dan menyembah Tuhan dengan cara yang wajar, maka manusia memerlukan banyak ajaran. Nikodemus menganggap Kristus sebagai seorang guru yang datang daripada Tuhan. Ini menunjukkan bahawa dia mungkin menyangka dia memerlukan ajaran yang lebih baik untuk memperbaiki dirinya. Namun, jawapan Tuan dalam ayat seterusnya menyingkapkan kepadanya bahawa dia perlu dilahirkan semula.

Tuan menjawab, “Sesungguh-sungguhnya Aku berkata kepada kamu, Melainkan seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kingdom Tuhan” (ay. 3). Apabila Nikodemus dengar bahawa dia perlu dilahirkan semula dia menyangka bahawa ini bererti dia perlu masuk semula ke dalam rahim ibunya dan keluar sekali lagi. Jawapannya membuktikan bahawa dia tidak tahu bagaimana melatih rohnya. Dia salah faham terhadap kata-kata Tuan. Kemudian, Tuan Yesus mengatakan bahawa yang dilahirkan daripada tubuh daging ialah tubuh daging. Dia seolah-olah berkata kepada Nikodemus, “Tidak kira berapa banyak kali kamu masuk semula ke dalam rahim ibumu dan keluar sekali lagi, kamu tetap ialah tubuh daging. Yang dilahirkan daripada tubuh daging ialah tubuh daging. Nikodemus, usah mengatakan bahawa kamu tidak dapat masuk semula ke dalam rahim ibumu dan dilahirkan sekali lagi, kerana sekalipun kamu dapat melakukannya, kamu tetap sama. Meskipun kamu dapat dilahirkan semula dengan cara itu dan menjadi muda sekali lagi, selepas enam puluh atau tujuh puluh tahun, kamu tetap sama seperti sekarang. Kamu tidak memerlukan kelahiran semula yang sedemikian.” Apa yang diperlukan Nikodemus bukanlah satu lagi kelahiran dari segi masa, tetapi satu lagi kelahiran dari segi sifat. Tuan memberitahu Nikodemus secara tegas bahawa apa yang diperlukannya ialah dilahirkan semula.

Dilahirkan semula bererti dilahirkan dengan hayat divin, iaitu hayat yang berbeza hayat manusia yang diterima melalui kelahiran sejadi. Oleh itu, keperluan Nikodemus yang sebenar bukanlah ajaran yang lebih baik, tetapi hayat divin. Nikodemus mencari ajaran kepunyaan pohon pengetahuan. Akan tetapi, jawapan Tuan memalingkan dia kepada keperluannya terhadap hayat kepunyaan pohon hayat (bd. Kej. 2:9-17).  Jawapan Tuan kepada Nikodemus seolah-olah memberitahu Nikodemus, “Nikodemus, apa yang kamu perlukan bukanlah ajaran, tetapi satu lagi hayat. Tidak kira betapa baiknya kamu, kamu hanya mempunyai hayat manusia. Kamu memerlukan hayat divin. Nikodemus, tidakkah kamu sedar bahawa disebabkan kamu mengejar pengetahuan, kamu berada pada garis pohon pengetahuan? Kamu tidak berada pada garis pohon hayat.” Tuan kemudiannya berkata, “Sesungguh-sungguhnya Aku beritahu kamu, melainkan seseorang dilahirkan daripada air dan Roh itu, dia tidak dapat masuk ke dalam kingdom Tuhan.”

Tuan membuat Nikodemus amat jelas tentang keadaannya. Setiap orang, tidak kira dia baik atau jahat, perlu ditamatkan menerusi air dan kemudian dicambahkan dengan hayat divin. Inilah kelahiran kedua, bukan kelahiran daripada rahim ibu, tetapi kelahiran daripada air dan Roh itu.

Bacaan Selanjutnya: Kajian-hayat Yohanes, mesej 8-9, oleh Witness Lee