Nota Editor:

“Kita harus melihat bahawa niat yang baik tidak dapat dibandingkan dengan kehendak Tuhan. Perintah Tuhan tidak perlu dilaraskan oleh tangan manusia. Tuhan tahu apa yang diingini-Nya; Dia tahu apa yang disukai-Nya. Perintah Tuhan mewakili hati-Nya. Dia tidak mahu niat baik kita mengubah hasrat hati-Nya.”

“Kita menyangka bahawa mempersembahkan korban dan menderita itu adalah baik. Kita menyangka bahawa mempersembahkan apa yang kita anggap baik itu kepada Tuhan adalah baik. Soalnya ialah: Apa kata Tuhan? Kita tidak perlu menggunakan minda kita untuk berfikir hendak membuat apa untuk Tuhan. Kita hanya perlu mematuhi perintah Tuhan.”

“Kita hidup untuk kehendak Tuhan, bukan untuk mempersembahkan korban. Semoga Tuhan mencahayai kita hari ini secara menyeluruh, agar kita tahu bahawa tidak ada satu perkara yang berasal daripada diri kita yang dapat diperkenan Tuhan. Hanya apa yang menurut perintah Tuhan yang dapat menggirangkan Tuhan.”

Bacaan Bible:

1 Sam. 15:22 “Dan Samuel berkata, Adakah Yehova berkenan akan korban bakaran dan korban sembelihan / Sama seperti berkenan akan hal mematuhi suara Yehova? / Lihatlah, mematuhi lebih baik daripada korban sembelihan, / Dan memberi perhatian lebih baik daripada lemak domba jantan.”

Mat. 26:39 “Setelah pergi ke hadapan sedikit, Dia tersungkur lalu berdoa dengan berkata, Bapa-Ku, jika mungkin, biarlah cawan ini berlalu daripada-Ku; namun bukan sebagaimana yang Aku kehendaki, tetapi sebagaimana yang Engkau kehendaki.”

HAYAT ATAU POLITIK

Terdapat dua perkara yang nampaknya mirip dari segi luaran, tetapi sebenarnya berbeza secara dalaman. Satu ialah kesedaran secara dalaman dan menyeluruh terhadap kekorupan tubuh daging, dan satu lagi ialah pertunjukan secara luaran dan berpolitik. Yang satu ialah hayat, dan yang satu lagi ialah politik. Hayat terhasil dari dalam, iaitu tindakan seseorang betul-betul sama dengan keadaan dalamannya. Politik pula ialah tindakan yang membawa tujuan dan dibuat-buat. Di hadapan Tuhan, orang Kristian harus bertindak melalui hayat, bukan politik. Saya ingin menyebut tentang seorang dikbang, dan saya berharap saya bukan mengkritik dia. Saya hanya boleh mengatakan bahawa saya tidak pernah bertemu dengan seorang yang begitu tidak mengenali tubuh daging seperti dia. Saya sudah berkali-kali memberitahu dia, “Kamu bergantung pada kepetahan, kebolehan, dan hasil kerja kamu; semua ini kamu lakukan daripada diri kamu, bukan daripada Tuhan. Tuhan tidak akan berkenan. Kamu lebih bijak, petah, dan berkeupayaan daripada orang lain, tetapi semua ini tidak boleh digunakan dalam kerja Tuhan.” Saya berterus terang dengannya, dan dia juga tidak membantah kata-kata saya. Dia berkata kepada saya, “Dikbang Nee, semua kelebihan saya, seperti kepetahan, kebijakan, kebolehan saya, adalah korup. Kata-kata kamu memang betul.” Dia sama sekali bersetuju dengan kata-kata saya, malah dia berkata demikian dari tahun pertama sampai tahun ketiga. Setiap kali saya berbicara dengannya, dia menerima kata-kata saya dengan amat sabar, rela, dan rendah diri. Akan tetapi, semua ini hanyalah politik, bukan hayat. Politik itu merupakan sesuatu yang dibuat-buat, bukan yang terhasil dari dalam.

Bagaimanakah saya tahu bahawa dia berpolitik dan bukan berada dalam hayat? Sekiranya sesuatu itu politik, pasti akan ada bunyi embek domba dan lenguh lembu. Apabila kamu mendengar bunyi daripada lembu, domba, dan Agag, kamu tahu bahawa itu politik, bukan hayat. Saul berkata, “Aku telah melaksanakan sabda Yehova.” Sekiranya ini benar, sudah tentu bunyi lembu dan domba tidak akan kedengaran. Sekiranya sesuatu itu politik, maka seseorang perlu mengawal bunyi-bunyi ini dan mendiamkan embek domba serta lenguh lembu mengikut keadaan. Asalkan kamu dapat mendengar bunyi embek dan lenguh, maka sudah tentu sesuatu yang berpolitik sedang berlaku. Sekiranya tubuh daging masih dapat mengeluarkan suara rintihan, ini menandakan seseorang itu sekadar melakukan pertunjukan yang bertujuan; dia tidak berada dalam hayat, dan tidak benar-benar menanggulangi tubuh daging.

Dalam hal-hal rohani, seseorang hanya dapat menipu diri sendiri; dia tidak dapat menipu orang lain. Selain menipu diri sendiri, kamu tidak dapat menipu orang lain. Kamu tidak dapat menipu baik Tuhan, dikbang dan dikkak, mahupun orang di dunia. Malah Syaitan pun tidak akan tertipu. Seseorang hanya dapat menipu dirinya sendiri. Saul mungkin ingat orang lain tidak dapat mendengar bunyi lembu dan domba. Sebenarnya, orang sedunia sudah mendengarnya, tetapi Saul masih ingat bahawa orang tidak mendengar. Berkenaan dikbang yang disebut tadi, orang lain tidak perlu menunjukkan tubuh dagingnya. Semasa dia bercakap, tubuh dagingnya terdedah secara spontan. Bunyi lembu, domba dan Agag akan kedengaran secara automatik. Walaupun dia tidak berkata apa-apa di luar, tetapi suara dalamannya telah mendedahkannya. Kadang-kadang kamu menasihati orang agar menanggulangi tubuh daging, kebijakan, kepetahan dan kebolehan alamiah mereka, tetapi hati mereka mungkin berfikir bahawa mereka tidak seteruk itu. Mulut mereka mungkin bersetuju dengan kata-kata kamu, tetapi pemikiran dalam hati mereka tidak dapat disembunyikan. Terdapat perbezaan yang besar antara seorang yang pernah dihakimi dengan seorang yang belum dihakimi. Sekiranya seseorang belum benar-benar menanggulangi tubuh daging, tetapi berpura-pura di luar bahawa dia mempunyai pengalaman sedemikian, maka lembu dan domba yang disimpannya akan memaklumkan kepada orang lain bahawa dia tidaklah sejati. Dalam hal rohani, tidak ada satu perkara yang dapat menipu Tuhan. Lembu dan domba akan mendedahkan apa yang ada dalam seseorang. Inilah sejarah Saul.

NIAT YANG BAIK TIDAK BOLEH MENGGANTIKAN KEHENDAK TUHAN

Dalam ayat 15, Saul memberitahu Samuel sebab dia membiarkan lembu dan domba yang terbaik itu hidup. Dia ingin mempersembahkan lembu dan domba itu kepada Tuhan. Hal ini khususnya mewahikan bahawa kita mungkin berharap untuk diperkenan Tuhan dengan mempersembahkan benda-benda baik yang disimpan itu kepada Tuhan. Niat untuk mempersembahkan benda baik kepada Tuhan memang baik. Akan tetapi, niat yang baik sama sekali tidak boleh menggantikan kehendak Tuhan. Apa juga yang disabdakan Tuhan mesti dilaksanakan. Hari ini kita harus membereskan hal ini sekali buat selama-lamanya. Kita harus melihat bahawa niat yang baik tidak dapat dibandingkan dengan kehendak Tuhan. Perintah Tuhan tidak perlu dilaraskan oleh tangan manusia. Tuhan tahu apa yang diingini-Nya; Dia tahu apa yang disukai-Nya. Perintah Tuhan mewakili hati-Nya. Dia tidak mahu niat baik kita mengubah hasrat hati-Nya.

Sebagai contoh, di rumah saya ada seorang dikbang yang bekerja untuk saya. Dia tukang masak yang handal. Saya sering mengatakan bahawa dia orang gaji yang buruk dan pekerja yang teruk. Mengapa saya berkata begitu? Saya berkata begitu kerana dia berfikir bahawa dia mengetahui lebih banyak daripada saya. Dia menyangka bahawa dia lebih memahami perut saya berbanding dengan saya sendiri. Pada suatu kali, saya meminta dia memasak mi. Selepas lama menunggu, mi masih tidak dihidangkan. Selepas itu, barulah saya dapat tahu bahawa dia sedang memasak bubur. Saya mahu makan mi, tetapi dia memasak bubur pula. Dia beranggapan bubur lebih baik daripada mi. Memandangkan dia sudah siap masak, terpaksalah saya makan. Manusia boleh bertolak ansur sedikit, tetapi Tuhan tidak bertolak ansur. Sayalah tuan rumah dan saya ingin makan mi. Apabila saya berkata mi, maka mi yang harus dihidangkan kepada saya. Dikbang itu mengasihi saya dan menjaga saya, tetapi dia hanya layak menjadi tuan saya. Dia tidak layak menjadi pekerja saya. Dia mempunyai pemikirannya sendiri, dan dia menganggap bahawa pemikirannya lebih baik daripada pemikiran saya. Dia tidak melakukan kerja menurut kemahuan saya. Oleh itu, kita harus melihat bahawa hati kita yang baik sama sekali tidak boleh menggantikan perintah Tuhan. Hati kita yang baik sama sekali tidak dapat mengubah perintah Tuhan. Jangan sekali-kali ingat bahawa kita dapat menjadi penasihat Tuhan. Dia Tuan, dan kita sekadar hamba yang menurut perintah. Kita hanya perlu membuat mengikut perintah-Nya. Jangan memandai-mandai hendak membuat sesuatu untuk Tuhan daripada hati kita yang baik. Hati baik sedemikian selalunya bertentangan dengan perintah Tuhan kerana hati yang baik merupakan tanda kehadiran tubuh daging.

MEMATUHI LEBIH BAIK DARIPADA KORBAN SEMBELIHAN, DAN MEMBERI PERHATIAN LEBIH BAIK DARIPADA LEMAK DOMBA JANTAN

Kata-kata dalam ayat 22 memang amat berharga; kata-kata ini betul-betul amat bernilai. Samuel berkata, “Adakah Yehova berkenan akan korban bakaran dan korban sembelihan sama seperti berkenan akan hal mematuhi suara Yehova? Lihatlah, mematuhi lebih baik daripada korban sembelihan, dan memberi perhatian lebih baik daripada lemak domba jantan.” Lemak domba jantan menambah bau harum kepada korban supaya korban itu diperkenan Tuhan. Mempersembahkan korban pula bererti kita mengalami kerugian sementara Tuhan beroleh sesuatu. Semasa seseorang mempersembahkan korban, dia kehilangan sesuatu. Meletakkan korban di atas mazbah merupakan tindakan yang merugikan diri sendiri, mengorbankan diri sendiri supaya Tuhan beroleh sesuatu. Mempersembahkan korban bererti manusia rela menderita untuk Tuan, rela berkorban, rela menyangkal diri, dan menyerahkan segala yang baik kepada Tuan. Akan tetapi, Tuhan mengatakan bahawa tidak ada satu korban yang boleh menggantikan kepatuhan, dan tidak ada satu kerja yang boleh menggantikan pemberian perhatian. Masalah kita ialah kita dapat melakukan segala hal tetapi tidak dapat patuh. Orang selalunya hendak mempersembahkan korban yang dianggapnya lebih baik daripada kepatuhan, padahal apa yang dihargai Tuhan ialah mematuhi dan memberi perhatian.

Hari ini, biarpun kita melakukan banyak kerja untuk Tuhan, mempersembahkan korban, berjerih lelah, menderita, dan menyangkal diri, semua ini sama sekali tidak boleh menggantikan hal mematuhi dan memberi perhatian. Banyak orang yang sibuk bekerja dan tidak henti-henti bekerja kerana mereka ingin menggantikan kepatuhan dengan persembahan korban. Mereka ingat bahawa dengan bekerja secara berterusan tanpa henti, mereka dapat mengisi kekurangan dalam kepatuhan mereka di hadapan Tuhan. Namun mereka tetap enggan berhenti untuk patuh. Orang sedemikian tidak akan diperkenan Tuhan. Saya hanya mengetahui satu perkara—tidak ada apa-apa yang boleh menggantikan kepatuhan.

Sepuluh tahun yang lalu, saya bersiar-siar bersama dengan Cik Barber di sebuah bukit di Pai-Ya-Tan. Kami berjalan jauh selama kira-kira tiga jam. Dalam perjalanan pulang saya bertanya kepadanya, “Banyak orang yang mengatakan kamu suka berjalan jauh di bukit. Adakah ini benar?” Dia bertanya, “Apa yang dikatakan mereka?” Saya berkata, “Mereka berkata mereka selalu nampak kamu berjalan di bukit.” Dia berkata, “Senang sahaja untuk saya berhenti berjalan di bukit. Hingga hari ini, sudah lebih daripada sepuluh tahun saya tidak kembali ke England. Saya juga tidak merancang hendak balik ke England dan mati di sana. Saya bersedia untuk tinggal di sini. Oleh itu, saya suka berjalan-jalan setiap hari. Saya telah berdoa dan bertanya kepada Tuhan berkenaan hal ini, dan saya jelas bahawa Tuhan menghendaki saya berbuat demikian. Senang sahaja jika saya mahu mengelakkan kritikan orang tentang perjalanan saya ini, tetapi memandangkan Tuhan menghendaki saya berbuat demikian, maka lebih sukar lagi jika manusia ingin menghentikan saya daripada berbuat demikian.”

Saya mendapati bahawa makanan Cik Barber adalah lebih baik daripada banyak orang yang tidak percaya, dan saya pernah menyebut hal ini kepadanya. Dia berkata, “Kawanku, ini bukan soal makanan baik atau buruk. Bagi saya, makan makanan yang baik atau makanan yang buruk kedua-duanya senang sahaja. Namun saya sudah berdoa tentang jumlah wang yang harus saya belanjakan setiap bulan dalam makanan. Sama ada makanan saya baik atau buruk, itu tanggungjawab Tuhan, bukan tanggungjawab saya.” Kehendak Tuhan lebih baik daripada persembahan korban. Kita menyangka bahawa mempersembahkan korban dan menderita itu adalah baik. Kita menyangka bahawa mempersembahkan apa yang kita anggap baik itu kepada Tuhan adalah baik. Soalnya ialah: Apa kata Tuhan? Kita tidak perlu menggunakan minda kita untuk berfikir hendak membuat apa untuk Tuhan. Kita hanya perlu mematuhi perintah Tuhan.

“BUKAN SEBAGAIMANA YANG AKU KEHENDAKI, TETAPI SEBAGAIMANA YANG ENGKAU KEHENDAKI”

Pada malam sebelum Tuan meninggal dunia, Dia berdoa di Taman Getsemani. Kebanyakan orang berfikir bahawa Tuan berasa sedih, dan peluh-Nya menjadi seperti titisan darah yang besar kerana tubuh daging-Nya lemah dan Dia takut minum cawan itu. Tidak! Dengarlah kata-kata Tuan: “Bapa-Ku, jika mungkin, biarlah cawan ini berlalu daripada-Ku; namun bukan sebagaimana yang Aku kehendaki, tetapi sebagaimana yang Engkau kehendaki.” (Mat. 26:39). Tuan mengatakan bahawa jika mungkin, biarlah cawan itu berlalu daripada-Nya, namun bukan sebagaimana yang dikehendaki-Nya, tetapi sebagaimana yang dikehendaki Bapa. Tuan boleh meminta agar cawan berlalu daripada-Nya, tetapi Dia tidak meminta agar kehendak Tuhan berlalu daripada-Nya. Tuan boleh meminta agar penderitaan salib dialihkan, tetapi Dia tidak meminta kehendak Tuhan dialihkan. Di sini persoalan Tuan bukan berkenaan disalibkan atau tidak, tetapi bagaimana kehendak Tuhan. Tuan ingin bersatu dengan kehendak Tuhan. Cawan itu boleh diminum atau tidak diminum, namun yang penting ialah bagaimanakah kehendak Tuhan? Kita memberi perhatian kepada cawan pahit, dengan menyangka bahawa penderitaan itu sentiasa baik dan mempersembahkan korban serta berjerih lelah itu sentiasa baik. Akan tetapi, cawan itu hanya baik apabila cawan itu berkaitan dengan kehendak Tuhan. Sekiranya cawan itu tidak ada kena-mengena dengan kehendak Tuhan, maka cawan itu adalah tidak baik. Setelah Tuan jelas bahawa kehendak Tuhan ialah cawan itu, Dia menerimanya dengan rela hati. Apabila Tuan tidak jelas sama ada cawan itu kehendak Tuhan atau bukan, Dia boleh meminta Tuhan agar mengalihkan cawan itu daripada-Nya. Akan tetapi, sebaik sahaja Dia jelas bahawa cawan itu ialah kehendak Tuhan, maka Dia tidak teragak-agak untuk menerimanya.

Kita hidup untuk kehendak Tuhan, bukan untuk mempersembahkan korban. Semoga Tuhan mencahayai kita hari ini secara menyeluruh, agar kita tahu bahawa tidak ada satu perkara yang berasal daripada diri kita yang dapat diperkenan Tuhan. Hanya apa yang menurut perintah Tuhan yang dapat menggirangkan Tuhan. Jangan ingat bahawa asalkan saya adalah untuk Dia, saya mempersembahkan diri kepada-Nya, saya menderita untuk-Nya, semuanya baik. Kamu harus bertanyakan sama ada semua ini kehendak Tuhan atau bukan. Orang Amalek, lembu, domba, dan Agag, semuanya tidak boleh digunakan di atas mazbah Tuhan. Korban yang dikehendaki Tuhan untuk kita letakkan di atas mazbah haruslah sesuatu yang ditetapkan Tuhan. Yang lain semuanya tubuh daging dan hanya layak untuk mati; semuanya tidak layak untuk dipersembahkan sebagai korban. Semoga Tuhan membuka mata kita agar kita melihat bahawa kita bukan sahaja mungkin mengingkari Tuan dalam hal berdosa, malah kita juga mungkin mengingkari Tuan dalam hal mempersembahkan korban. Semoga Tuan menjauhkan kita daripada mempersembahkan apa yang tidak ditetapkan-Nya, dan semoga Tuan mengarahkan kita agar hanya melakukan apa yang menurut kehendak-Nya.