Nota Editor:

“Manusia sering kali berfikir bahawa dia lebih cerdik daripada Tuhan dan dia lebih arif daripada Tuhan. Manusia menyangka Tuhan mungkin juga akan silap, dan Dia kadang-kadang kurang berhemat. ‘Mengapakah saya perlu mengetepikan apa yang saya pelajari bertahun-tahun, termasuk kepetahan, kearifan dan kemahiran saya, dan tidak menggunakannya?’ Manusia mementingkan manfaat, hemat, nilai kebergunaan, dan hasil. Akan tetapi, Tuhan tidak mempedulikan semua ini. Tuhan hanya mengambil berat akan satu perkara, iaitu kehendak-Nya sendiri. Selain kehendak Tuhan, Dia tidak berkenan akan apa-apa yang lain.”

“Asalkan kita belum melihat bahawa kebaikan dalam tubuh daging adalah amat dibenci, ertinya kita masih belum menerima wahi Tuhan, dan kita masih tidak jelas berkenaan apa itu hal-hal yang rohani.”

Bacaan Bible:

1 Sam. 15:9 Tetapi Saul dan umat mengasihani Agag dan yang terbaik daripada domba dan daripada lembu dan daripada ternakan tambun, dan anak domba dan segala-gala yang baik, dan tidak mahu membinasahabiskan semuanya; tetapi segala-gala yang dipandang hina dan yang tidak berharga dibinasahabiskan mereka.

TUHAN HANYA MENGINGINI KEHENDAK-NYA, BUKAN APA-APA YANG LAIN

Dalam Ulangan 25, Tuhan memerintahkan orang Israel agar membinasahabiskan orang Amalek (ay. 19). Namun dalam 1 Samuel 15, orang Israel membunuh orang Amalek dengan pedang, tetapi mengasihani Agag Raja orang Amalek, dan juga menyayangi yang terbaik daripada lembu, domba, anak lembu, dan anak domba, serta segala benda yang baik; mereka tidak membinasahabiskan semuanya. Umat Tuhan membuat pembezaan terhadap orang Amalek; mereka membunuh sesetengah dan membiarkan sesetengah hidup. Perintah Tuhan ialah semuanya harus dibinasahabiskan, tetapi manusia mahu menyimpan yang terbaik. Sungguhpun antara lembu, domba, unta, dan keldai orang Amalek, terdapat yang besar dan yang kecil, yang kuat dan yang lemah, tetapi semua ini tidak ada bezanya di mata Tuhan. Apabila Tuhan bersabda hendak membinasahabiskan semuanya tanpa meninggalkan apa-apa, ertinya orang Amalek dan segala milik mereka harus disingkirkan. Namun begitu, orang Israel seolah-olah mempunyai pandangan yang lebih baik daripada Tuhan. Mereka membahagikan lembu dan domba orang Amalek kepada yang baik dan yang buruk. Mereka menyimpan yang terbaik daripada lembu, domba, anak lembu, anak domba dan segala benda yang baik, dan enggan membinasahabiskannya; mereka hanya membunuh yang dipandang hina dan tidak berharga.

Manusia sering kali berfikir bahawa dia lebih cerdik daripada Tuhan dan dia lebih arif daripada Tuhan. Manusia menyangka Tuhan mungkin juga akan silap, dan Dia kadang-kadang kurang berhemat. “Mengapakah saya perlu mengetepikan apa yang saya pelajari bertahun-tahun, termasuk kepetahan, kearifan dan kemahiran saya, dan tidak menggunakannya?” Manusia mementingkan manfaat, hemat, nilai kebergunaan, dan hasil. Akan tetapi, Tuhan tidak mempedulikan semua ini. Tuhan hanya mengambil berat akan satu perkara, iaitu kehendak-Nya sendiri. Selain kehendak Tuhan, Dia tidak berkenan akan apa-apa yang lain.

Kita berasa sayang untuk membunuh lembu, domba, dan Agag. Namun ketundukan yang sebenar sentiasa merupakan pembaziran bagi orang yang bersifat tubuh daging. Pernahkah orang lain berasa bahawa kamu telah dibazirkan? Pernahkah kamu berasa diri kamu telah dibazirkan? Kemungkinan kamu tidak pernah mempunyai perasaan sayang ini kerana kamu terlalu penuh. Hanya apabila kamu sanggup mengetepikan tubuh daging, barulah timbul perasaan sayang dalam kamu. Sekiranya diri kamu digunakan sampai tahap penuh, dan kamu masih penuh dengan unsur alamiah, kamu tidak akan ada perasaan sayang. Jika lembu dan domba semuanya selamat, apakah yang perlu disayangkan? Apabila semua lembu dan domba dibunuh, barulah timbul perasaan sayang. Ketika lembu dan domba dibiarkan hidup, ketika tubuh daging tidak mengalami sebarang kerugian, bagaimanakah kita hendak berasa sayang? Hanya apabila tubuh daging diketepikan demi Tuhan, dipinggirkan di hadapan Tuhan, barulah timbul perasaan sayang sekali. Tubuh daging memang berupaya melakukan sesuatu tetapi tidak ada peluang untuk menunjukkan kehebatannya; ketika itulah timbul perasaan sayang. Selagi tubuh daging dapat menunjukkan kehebatannya, mustahil ada perasaan sayang! Kelmarin kita mengatakan bahawa seseorang pekerja harus mempunyai sudut pandangan Tuhan, barulah dia dapat bekerja untuk Tuhan. Jika pandangan seseorang bersifat bumiah dan dia melayan menurut tubuh daging, sungguhpun kegunaannya amat besar, namun sifat kerjanya di hadapan Tuhan adalah salah dan tidak luhur.

Mengapakah orang Israel membiarkan Agag serta lembu dan domba yang terbaik itu hidup? Perkara ini kerana mereka tidak dapat mencari alasan untuk membunuh Agag serta lembu dan domba yang terbaik. Mereka berpendapat bahawa lembu, domba, dan Agag adalah berguna. Membunuh semua yang baik ini terlalu sayang. Masalah orang Israel ialah mereka tidak melihat kehendak Tuhan. Mereka hanya melihat benda-benda ini menurut pandangan sendiri dan mengasihaninya. Mereka enggan membinasahabiskan orang Amalek dan segala milik mereka menurut kehendak Tuhan.

MEMERLUKAN WAHI TUHAN UNTUK MELIHAT KEKEJIAN TUBUH DAGING

Dua hari ini saya asyik memikirkan satu perkara: Tuhan harus memberi kita wahi. Jika kita tidak mempunyai wahi daripada Tuhan untuk melihat kehendak Tuhan, kita akan menganggap pemikiran kita adalah rasional. Kita berasa sesuatu itu munasabah berdasarkan alasan kita yang baik di mata kita. Akibatnya, kita sering kali tidak akan membenci apa yang dibenci Tuhan. Kita juga tidak seperasaan dengan Tuhan di hadapan-Nya. Kita tidak harus memandang ringan akan kata-kata ini. Jika kita tidak menanggulangi perkara ini secara serius di hadapan Tuhan, kita tidak dapat melakukan kerja Tuhan kerana kita langsung tidak layak. Biarpun kita sudah melakukan sesuatu, hal yang kita lakukan di bumi tidak akan didaftar di syurga. Kita harus memohon kepada Tuan agar memberi kita wahi yang hebat dan yang menghancurkan kita, supaya kita dapat melihat apa yang dilihat Tuhan. Apabila mata kita terbuka untuk melihat sesuatu, kita akan sedar betapa kejinya orang Amalek. Kita sedikit pun tidak akan menghargai bahkan lembu dan domba yang terbaik, atau Agag. Kita akan tahu bahawa segala-gala yang berasal daripada tubuh daging adalah tidak berguna. Asalkan kita belum melihat bahawa kebaikan dalam tubuh daging adalah amat dibenci, ertinya kita masih belum menerima wahi Tuhan, dan kita masih tidak jelas berkenaan apa itu hal-hal yang rohani.

Kita mungkin telah banyak mendengar mesej dan banyak belajar. Kita mungkin bersetuju bahawa tubuh daging harus disingkirkan, tetapi persoalannya ialah: Adakah kita betul-betul membenci tubuh daging? Kita harus mengenali tubuh daging, dan kita harus betul-betul membenci tubuh daging sampai ke tahap kita ingin membunuhnya. Hanya apabila kita sampai ke tahap ini, barulah kita melihat wahi. Segala perasaan sayang terhadap tubuh daging merupakan tanda bahawa seseorang belum menerima cahaya. Jika kita dapat melihat apa yang dilihat Tuhan, kita akan menghakim sebagaimana Tuhan menghakim, dan kita akan menolak sebagaimana Tuhan menolak. Sebagai contoh, sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu, sewaktu kamu masih pendosa, adakah kamu sedar bahawa kamu seorang yang keji? Tidak. Bukan sahaja kamu tidak sedar, malah dalam hati naluri kamu, kamu berasa diri kamu lebih baik daripada jiran kamu, malah tidak banyak orang yang baik seperti kamu di dunia ini. Hari ini kamu sedar bahawa kamu pendosa. Apabila orang bertanya sama ada kamu berdosa atau tidak, kamu akan mengaku ya. Walau bagaimanapun, mulut kamu mungkin mengaku, namun hati kamu masih tidak berasa kamu sebegitu jahat. Apakah ertinya tidak ada cahaya Tuhan? Tidak ada cahaya Tuhan bererti tidak melihat apa yang dilihat Tuhan. Seseorang yang tidak dapat melihat apa yang dilihat Tuhan ialah seseorang yang tidak ada cahaya Tuhan. Kamu tidak sedar bahawa kamu seorang pendosa kerana kamu tidak ada cahaya Tuhan. Hari ini jika ada orang yang mengatakan kamu tidak berdosa, kamu tidak akan berani bersetuju. Mengapa? Hal ini kerana hari ini kamu telah melihat sedikit apa yang dilihat Tuhan. Kamu mempunyai cahaya Tuhan, maka kamu mengaku bahawa kamu berdosa.

Dalam kerja Tuhan, hal menanggulangi tubuh daging berkait rapat dengan cahaya Tuhan. Saya bukan bermaksud kelebihan yang ada dalam tubuh daging itu tidak berguna. Namun jika kita ada cahaya Tuhan, kita akan melihat bahawa biarpun kelebihan dalam tubuh daging juga ditolak Tuhan. Tuhan mengatakan bahawa kekuatan tubuh daging, serta daya tarikan alamiah, kepetahan, kebolehan, kebijakan dan sebagainya semuanya tidak berguna dalam kerja-Nya. Dalam kerja Tuhan, sikap kita terhadap kekuatan tubuh daging haruslah sampai ke tahap membenci. Kita harus menyangkal kelebihan tubuh daging sebagaimana kita menyangkal kelemahan tubuh daging. Kebanyakan orang tahu bahawa dosa adalah tidak baik dan harus disingkirkan, tetapi dalam hati mereka selalu berfikir, “Adakah saya juga perlu mengetepikan kebijakan, kepetahan, dan keupayaan saya?” Orang yang bertanyakan soalan ini tidak mempunyai cahaya Tuhan. Saya mengenali beberapa dikbang dan dikkak yang merupakan pekerja Tuhan yang amat berguna di tangan Tuan. Mereka semua telah mengalami cahaya Tuhan yang sangat kuat. Kamu mungkin takut akan cahaya Tuhan, tetapi ada yang tidak takut. Mereka ingin dicahayai Tuhan secara kuat kerana mereka sedar bahawa segala-gala dalam diri mereka dan tubuh daging mereka, biarpun butir yang terbaik, dikutuk Tuhan dan tidak boleh digunakan dalam kerja Tuhan. Berapakah orang dalam kalangan kita yang telah dicahayai Tuhan secara kuat? Kamu harus berdoa agar Tuhan memberi kita wahi yang menyeluruh untuk melihat apa yang tidak kamu ketahui. Jika kita tahu bahawa diri kita benar-benar tidak berguna, kita akan bertaubat dalam debu dan abu.

MEMBAYAR SEBARANG HARGA UNTUK PATUH KEPADA TUHAN

Samuel memerintahkan Saul untuk menghapuskan orang Amalek. Samuel di sini mewakili Tuhan. Dalam 1 Samuel 15:13, Saul berkata kepada Samuel, “Berberkatlah engkau oleh Yehova! Aku telah melaksanakan sabda Yehova.” Saul ingat bahawa dia sudah sangat patuh. Dia berasa bahawa dia telah membunuh semua lembu dan domba yang lemah serta semua orang Amalek, dan tindakan dia menyimpan sesetengah lembu dan domba yang terbaik serta Raja Agag itu tidak terbilang apa-apa. Dikbang saya sekalian, bolehkah kita berhemat dalam hal patuh kepada Tuhan? Kepatuhan bukanlah tindakan yang berhemat. Saul menyangka bahawa dengan membunuh lembu dan domba yang lemah serta semua rakyat Amalek, tahap kepatuhannya sudah cukup dan sangat sempurna. Dia ingin menyimpan sedikit untuk diri sendiri. Dia berfikir bahawa yang buruk itu telah disingkirkan, dan sudah cukup banyak orang Amalek yang dibunuh! Dia telah melaksanakan sabda Yehova!

Akan tetapi, dalam ayat 14 Samuel berkata, “Apa pula dengan bunyi embek domba ini yang sampai ke telingaku dan lenguh lembu yang aku dengar?” Saul mengatakan bahawa dia telah melaksanakan perintah Tuan sepenuhnya, namun dari mana datangnya bunyi lembu, domba, dan Agag? Hal ini memang membuat Saul marah. Bodohnya beberapa ekor lembu dan domba ini. Kawanan ini boleh mengembek dan melenguh pada bila-bila masa yang lain; kenapa pula perlu mengeluarkan bunyi pada saat itu juga. Sering kali, kita tidak dapat mengawal bunyi lembu dan domba. Pada masa yang tidak sepatutnya berbunyi, binatang itu berbunyi. Lembu dan domba yang tidak tahu-menahu itu mengeluarkan bunyi pada masa yang salah! Cuba bayangkan babak ketika itu. Saul baru sahaja berkata kepada Samuel, “Berberkatlah engkau…,” tiba-tiba domba mengembek dan lembu melenguh. Dia bersambung lagi, “Aku telah melaksanakan…,” dan domba dan lembu berbunyi lagi. Selepas habis bercakap, binatang itu berbunyi lagi. Kemudian Samuel bertanya, “Dari manakah datangnya bunyi ini?” Kepatuhan yang sempurna tidak akan ada bunyi-bunyi ini!

(bersambung…)