Bacaan Bible: Yohanes 4:3-30

Dua Aspek Kedahagaan

Bab empat Yohanes memberi kita suatu gambaran. Dalam gambar ini ada seorang Penyelamat, seorang pendosa, sebuah perigi, dan air. Penyelamat dan pendosa ini bertemu di tepi perigi dan topik perbualan mereka ialah soal air. Penyelamat duduk di tepi perigi, menantikan orang memberi air kepada-Nya untuk diminum; pendosa itu pula datang ke perigi untuk menimba air bagi menghilangkan dahaganya. Di tepi perigi ini, bertemulah seorang Penyelamat yang dahaga dan seorang pendosa yang haus. Oleh itu, gambaran ini memberitahu kita bahawa dalam alam semesta ini ada dua aspek kedahagaan. Dalam rencana ringkas ini, kita akan melihat aspek kedahagaan Penyelamat.

Pernahkah kamu terfikir bahawa Penyelamat kita juga akan berasa dahaga?

Kedahagaan Penyelamat

Di sini, Tuan dahaga untuk meminta air daripada pendosa. Bab yang sebelumnya memberitahu kita bahawa Penyelamat ini ialah Tuhan yang mencipta segala suatu. Meskipun Dia Tuan alam semesta, namun hari ini dalam alam semesta Dia masih berasa dahaga. Punca kedahagaan-Nya ialah Dia kehilangan manusia. Manusia merupakan buah hati-Nya dan sumber kepuasan-Nya. Sebab utama Dia mencipta alam semesta ini adalah untuk mendapatkan manusia. Akan tetapi, manusia tercicir akibat dosa menjadikan-Nya dahaga. Dia mendahagakan manusia. Hanya manusia yang dapat menghilangkan kedahagaan-Nya. Tanpa manusia, Dia tidak beroleh kepuasan.

Kedahagaan merupakan suatu keperluan dalam manusia. Keperluan ini hanya dapat dihilangkan dengan air ataupun sebarang benda yang menyamai air. Dalam diri Tuhan juga mempunyai suatu keperluan yang menyerupai kedahagaan. Kedahagaan ini hanya dapat dipenuhi oleh manusia. Hanya manusia yang diperlukan Tuhan. Manusialah air yang dapat menghilangkan kedahagaan Tuhan.

Kedahagaan untuk mendapatkan manusia inilah yang menyebabkan Tuhan datang menjadi seorang manusia, datang dari syurga ke bumi dan tinggal dalam kalangan manusia. Oleh sebab Dia ingin mendapatkan perempuan sundal Samaria ini, maka Dia “harus merentasi Samaria”, tanpa menghiraukan keletihan berjalan jauh untuk sampai ke tepi perigi. Disebabkan Dia ingin mendapatkan perempuan itu, maka Dia tidak mengendahkan panas terik matahari lalu duduk menunggu perempuan itu datang. Juga disebabkan Dia ingin mendapatkannya, maka Dia tidak takut perempuan itu berasa janggal ketika dalam status seorang Yahudi Dia meminta air daripada perempuan yang berbangsa Samaria. Sebenarnya, apa yang diperlukan-Nya bukannya air dari perigi tetapi diri perempuan itu sendiri. Pendosa seperti perempuan inilah yang dapat menghilangkan kedahagaan-Nya sebagai seorang Penyelamat. Dialah yang diperlukan oleh Penyelamat dan dia inilah yang ingin diperoleh oleh Penyelamat ini.

Penyelamat datang ke dunia untuk mendapatkan pendosa. Sekiranya di bumi ini tidak ada pendosa dan Dia tidak memperoleh pendosa, maka kedahagaan-Nya akan bertambah! Banyak yang berfikir bahawa Penyelamat tidak sudi menerima pendosa seperti mereka. Padahal mereka inilah yang sedang diperlukan oleh Penyelamat dan ingin diperoleh oleh Penyelamat. Tanpa mereka, Penyelamat tidak akan puas dan kedahagaan-Nya tidak terlerai. Merekalah satu-satunya air yang ingin diminum oleh Penyelamat. Pendosa seperti mereka ini dan kitalah yang diperlukan oleh Penyelamat. Penyelamat memerlukan kamu untuk menghilangkan kedahagaan-Nya. Dia memerlukan kamu untuk memberi air kepada-Nya. Dia masih kehausan hari ini! Dia masih kehausan menanti-nantikan kamu!

Bacaan Selanjutnya:

Kajian-hayat Yohanes, oleh Witness Lee