Hakim-hakim 5:15-16

“…Dalam kalangan kelompok suku Ruben / Terdapat hati yang berkeazaman besar. / Mengapakah engkau duduk di antara kandang domba / Mendengar tiupan seruling domba? /  Dalam kelompok suku Ruben / Terdapat hati yang mencari ikhtiar besar.

Petikan ayat Bible ini menunjukkan bahawa kita perlu mempunyai hati yang berkeazaman besar dan hati yang mencari ikhtiar besar, seperti sesetengah orang dalam kalangan suku Ruben. Ruben ialah anak sulung Yakub. Sebagai anak sulung Yakub, Ruben sepatutnya terunggul dalam kewibawaan dan kuasa. Akan tetapi, dia telah melakukan dosa yang besar apabila dia mencemari gundik bapanya (Kej. 49:3-4).

Di Tepi Sungai-sungai Ruben 

Dalam petikan ayat Bible di atas, frasa “dalam kalangan kelompok suku Ruben” juga boleh diterjemahkan sebagai “di tepi sungai-sungai Ruben”. Keturunan Ruben merupakan anak-anak seorang pendosa, namun dalam kalangan mereka terdapatnya sungai-sungai. Menurut Mazmur 23:2 dan Yeremia 17:7-8, sungai-sungai menandakan Tuhan dan kurnia-Nya. Ini bermakna kurnia Tuhan telah mencapai keturunan suku Ruben! Sesetengah keturunan suku Ruben duduk di sebelah sungai-sungai, di sebelah Tuhan, dan di sebelah kurnia Tuhan, mereka mempunyai hati yang berkezaman besar dan hati yang mencari ikhtiar besar demi kingdom Tuhan. Namun terdapat juga yang menikmati duduk di antara kandang domba untuk mendengar tiupan seruling domba. Ini bermakna mereka berehat dan tidak bergerak, kerana mereka mengingini kehidupan yang senang-lenang, selesa, dan menghiburkan. Begitu juga dengan hari ini, banyak pekudus yang tidak rela menerima kurnia Tuhan untuk mempunyai hati yang berkeazaman besar dan hati yang mencari ikhtiar besar, kerana mereka mengingini kehidupan yang senang-lenang dan selesa.

Hidup demi Tuhan di Bumi

Kehidupan manusia adalah durjana dan korup, tetapi kita mempunyai sungai-sungai kurnia Tuhan; melaluinya kita boleh mempunyai hati yang berkeazaman besar dan hati yang mencari ikhtiar besar. Berkeazaman besar bererti membuat keputusan yang kukuh; berikhtiar besar bererti merancang. Kamu mungkin tertanya-tanya, kita berkeazaman besar dan mencari ikhtiar besar untuk apa? Jawapannya ialah untuk hidup demi Tuhan di bumi. Ini bererti kamu menerima Tuhan sebagai hayat kamu buat sepanjang kehidupan kamu. Seseorang yang beraspirasi, meskipun dia hidup di bumi, namun dia akan sentiasa memalingkan hatinya kepada Tuan. Kita harus berikhtiar untuk menjadi pejayeng, jayeng atas segala-gala yang menggantikan Kristus atau yang menentang Kristus.

Jika kamu berkeazaman besar dan mencari ikhtiar besar, maka Tuhan akan membimbing kamu untuk hidup demi-Nya di bumi. Dia akan membimbing kamu untuk keluar menginjil; Dia akan membimbing kamu untuk pergi mendapatkan pendosa-pendosa; Dia akan membimbing kamu untuk mengekspresikan-Nya di bumi ini dengan menjelajah ke setiap tempat, setiap negara, dan setiap bangsa bagi menjadi saksi-Nya dan memimpin orang untuk mengenali-Nya. Tuhan ialah Tuhan inkarnasi. Dia mahu manusia bekerjasama dengan-Nya agar Dia dapat bergerak. Jika kita tidak keluar mendapatkan pendosa-pendosa, maka Tuhan tidak akan pergi; tetapi jika kita pergi, Tuhan juga akan pergi. Namun demikian, ini menuntut kita mempunyai hati yang berkeazaman besar dan hati yang berikhtiar besar.

Semoga kita rela mengorbankan kenikmatan kesenangan dan keselesaan diri, menerima kurnia Tuhan untuk berkeazaman besar dan mencari ikhtiar yang besar bagi hidup demi-Nya pada hari ini!