Hubungan kita dengan Tuan sentiasa dimulakan dan dipelihara oleh hati. Sudah tentu, menghubungi Tuan itu perkara roh, tetapi ia harus dimulakan dan dipelihara oleh hati, kerana hati kita ialah pintu bagi seluruh diri kita. Sebuah bangunan yang mempunyai banyak bilik sentiasa ada pintu masuk dan pintu keluar; orang masuk melalui pintu masuk dan keluar melalui pintu keluar. Apabila pintu masuk ditutup, semua orang tidak dapat masuk ke bilik-bilik bangunan itu, tetapi sebaik sahaja pintu itu dibuka, orang dapat masuk ke dalam bangunan itu dan menikmati setiap bilik.

Hati bukan bahagian yang terpisah dan terasing daripada diri kita, tetapi terdiri daripada semua bahagian sukma dan satu bahagian roh. Disebabkan hati mempunyai semua bahagian ini, maka hati menjadi pintu bagi seluruh diri kita. Dengan kata lain, hati menjadi pintu masuk dan pintu keluar bagi diri kita. Apa-apa sahaja yang masuk ke dalam kita harus masuk menerusi hati. Apa-apa sahaja yang keluar daripada kita juga harus keluar menerusi hati.

Sebagai contoh, jika hati kita tidak berjaga-jaga semasa kita mendengar mesej, kita tidak akan mendapat isi mesej itu. Atau semasa kita membaca, jika hati kita tidak tertumpu pada kandungan bacaan, kita tidak akan menerima apa-apa. Bahkan semasa makan, jika kita tidak ada hati untuk makan, kita tidak akan merasa makanan itu. Ini membuktikan bahawa hati ialah organ yang mengawal. Untuk mengawal seluruh bangunan, kita harus dapat menutup atau membuka pintu. Demikian juga, hati mempunyai keupayaan untuk menutup atau membuka seluruh diri kita.

Atas sebab ini, pemberitaan injil harus dipimpin oleh Roh Kudus supaya dapat menyentuh hati manusia. Cara yang paling berkesan untuk memberitakan injil ialah menyentuh hati manusia. Jika seseorang itu dapat menembusi hati orang, dia dapat memperoleh banyak orang. Inilah sebabnya orang yang tidak percaya itu mengeraskan hati dan menutup hati mereka terhadap injil yang diberitakan. Tidak kira berapa banyak yang kita beritakan, jika hati mereka tertutup, kita tidak akan dapat menyentuh mereka. Kita tidak akan dapat meministerkan apa-apa ke dalam mereka, kerana “pintu masuk” mereka telah ditutup. Jika kita ingin memberitakan injil dengan cara yang berkesan, kita harus mencari jalan untuk menembusi pintu masuk. Penginjil terbaik ialah orang yang menemui kunci untuk membuka pintu hati orang.

Bahkan Tuan sendiri pun memikat kita menerusi hati kita. Dia tidak merangsang roh kita terlebih dahulu. Dalam permulaan Kidung Agung, pencari itu meminta Tuan agar memikat dia dengan kasih-Nya supaya dia dapat mengasihi-Nya. Tuan datang menyentuh hati kita dengan kasih-Nya. Inilah sebabnya selepas bangkit, Tuan bertanya kepada Petrus, “Adakah kamu mengasihi Aku?” (Yoh. 21:15-17). Kasih Tuan ialah cara yang terbaik untuk membuka pintu hati. Oleh itu, cara yang paling berkesan untuk membuka hati orang ialah memberitakan kasih Tuhan. Sebaik sahaja hati itu terbuka, Roh Kudus akan mudah menyentuh roh dan semua bahagian dalam diri manusia.