Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kebenaran Bible Hadiah Terbaik yang Diberikan Tuhan kepada Manusia
Dua Kejadian Petrus Menangkap Ikan
Hadiah Terbaik yang Diberikan Tuhan kepada Manusia
2016-08-10 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bible ialah sebuah buku yang unik. Buku ini melangkaui segala buku lain di dunia. Presiden keenam belas Amerika Syarikat, Abraham Lincoln, pernah berkata bahawa “Bible ialah hadiah terbaik yang diberikan Tuhan kepada manusia. Segala kebaikan daripada Penyelamat dunia disalurkan kepada kita menerusi buku ini”. Bible merupakan buku yang paling banyak dibaca di dunia dan telah diterjemahkan ke dalam lebih daripada seribu jenis bahasa, lebih banyak daripada mana-mana buku di dunia. Perkataan Bible datang daripada perkataan bahasa Yunani biblos, yang bermakna “buku itu”. Ini bermaksud bahawa Bible ternyata buku yang unik itu antara semua buku yang lain di dunia. Bible ialah karya tertinggi antara penulisan klasik di Barat dan di Timur.

Bible merupakan buku yang terulung antara semua buku dari segi kesahan catatannya. Banyak buku agama-agama lain penuh dengan mitos dan legenda. Namun dalam Bible kita menemui banyak rujukan yang benar berkenaan kejadian, orang, dan tempat. Sains arkeologi, sejajar dengan catatan sejarah sekular, telah mengesahkan bahawa catatan dalam buku-buku Bible adalah tepat.

Selain itu, Bible turut memperkatakan satu Pencipta maha perkasa yang abadi yang mencipta alam semesta, termasuk langit, bumi, dan segala benda tercipta, daripada ketiadaan. Sebelum manusia menemui fakta bahawa bumi adalah bulat, Bible sudah mengatakan bahawa bumi ialah sebuah bulatan (Yes. 40:22) dan bumi tergantung pada kehampaan (Ayub 26:7).

Bible juga mencatat tentang asal usul manusia. Ia memberitahu kita bahawa manusia dijadikan oleh Tuhan menurut imej-Nya (Kej. 1:26-27). Sains genetik moden dan juga penemuan tentang keajaiban tubuh manusia, secara meyakinkan telah membuktikan bahawa, memandangkan manusia merupakan makhluk yang begitu kompleks, maka semestinya terdapat satu Makhluk yang bijaksana di sebalik penciptaan manusia.

Satu lagi ciri yang menakjubkan berkenaan Bible ialah kesetiaannya dalam mencatat sejarah manusia. Semua perincian yang tercatat dalam Bible dapat disahkan oleh arkeologi moden hari ini. Bukan itu sahaja, Bible juga mengandungi nubuat berkenaan manusia sejagat pada masa yang akan datang. Buku Daniel memperlihatkan mimpi Raja Babylon. Dalam mimpi tersebut, raja nampak satu patung yang mempunyai kepala emas, dada dan lengan perak, perut dan paha tembaga, betis besi, serta kaki yang sebahagian besi dan sebahagian tanah liat. Patung itu ialah gambaran bagi sejarah manusia yang menjangkau tempoh selama lebih daripada dua ribu enam ratus tahun. Kebanyakan nubuat ini telah digenapi, dan sesetengah daripadanya akan dipenuhi pada masa yang akan datang.

Sebab Bible berbeza daripada semua buku yang lain ialah sifatnya yang divin. Tulisan Kitab ialah Tuhan-dihembus (2 Tim. 3:16). Ini memberitahu kita bahawa tulisan Kitab bukan berasal daripada fikiran manusia, minda manusia, sebaliknya tulisan Kitab ialah Tuhan menghembuskan fikiran dan sabda-Nya menerusi Roh-Nya ke dalam dan keluar daripada penulis. Oleh itu, Bible mengandungi unsur Tuhan dan mempunyai rasa-Nya. Memandangkan tulisan Kitab ialah Tuhan menghembuskan sabda-Nya daripada manusia menerusi Roh-Nya, maka tidak ada sabda dalam Kitab yang kepunyaan kehendak manusia; sebaliknya, manusia didorong oleh Roh dan berbicara daripada Tuhan.

Bible mempunyai skop liputan yang luas, dari permulaan alam semesta, melewati sejarah kejatuhan manusia dan penyelamatan Kristus, sampai akhir zaman. Ia memberi perincian sejarah manusia pertama, Adam, dan kejatuhannya, dan menelusuri keturunannya sampai Tuan Yesus Kristus. Bible berkonsumasi dengan keakhiran zaman ini, kedatangan zaman yang akan datang, dan akhirnya langit baru dan bumi baru.

Dua Kejadian Petrus Menangkap Ikan
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)