Kidung #566
1 Ingin s’lalu doa,
Melatih roh ku!
Dulu kurang doa,
Roh ku tak cergas.
Waktu ku berdoa,
Kurang guna roh,
Banyak minta, mohon,
Kurang ikut Roh.
2 Kini ku berdoa
Ikut keluh Roh;
Doa ikut urap,
Bukan ingatan.
Bukan guna minda,
Tapi guna roh,
Memuji, memohon,
S’lalu ikut Roh.

Antara berbagai-bagai benda hidup yang tidak terbilang di alam semesta, hanya manusia mempunyai roh. Malaikat-malaikat merupakan roh-roh, namun itu ialah perkara yang berlainan. Dalam seluruh ciptaan, terdapat suatu ciptaan yang bukan roh tetapi memiliki roh, iaitu manusia. Mengapakah Tuhan mencipta roh untuk manusia dalam batinnya? Kita semua tahu bahawa ini kerana Tuhan mahu manusia menerima-Nya, Dia yang merupakan Roh.

Dalam cahaya ini, kita melihat bahawa fungsi doa ialah kita menggunakan roh untuk bersekutu dengan Tuhan, iaitu menghubungi dan menyerap Tuhan dengan roh kita. Apabila kita bersekutu dengan Tuhan, hal ini memberi Tuhan peluang untuk mewahikan diri-Nya dalam kita dan mentransfusikan diri-Nya ke dalam kita supaya minda, emosi dan tekad kita semakin berbaur dengan-Nya. Dengan cara ini, Tuhan dapat mewahikan hasrat-Nya kepada kita agar kita memahami kehendak-Nya. Selain itu, semasa Tuhan beroperasi dalam kita, Dia mendedahkan dan menanggulangi kelemahan, kesilapan, dan kekurangan kita.

Apabila kita masuk ke dalam hadirat Tuhan, kita harus menganggap bersekutu dengan-Nya sebagai perkara yang paling penting. Kita tidak harus bermula dengan permohonan. Sebaliknya, kita harus pertama-tamanya berpaling kepada roh kita, menatap wajah Tuan yang bersinar, dan menunggu untuk operasi, pencahayaan, pewahian, pengurapan, infusi, pembauran Tuan, dipenuhi, dan ditepui Tuan. Kita juga harus membiarkan Tuan mendedahkan kelemahan, kesilapan, dan kekurangan kita. Sekiranya kita rela mengakui semua masalah ini secara tuntas, maka zimah kita akan ada damai sejahtera dan tidak terkutuk, serta roh kita akan penuh dengan hadirat-Nya. Pada ketika ini, dapatlah kita menyatakan kepada Tuan apa yang ingin kita doakan.

Doa kesalihan menitikberatkan kaji diri dan permohonan, yang sebahagian besarnya melibatkan usaha manusia. Doa yang kita katakan di sini bukan dikerjakan oleh usaha manusia. Doa jenis ini tidak melibatkan kaji diri atau permohonan. Doa ini berkaitan dengan kita pergi ke hadapan Tuan untuk menghubungi-Nya. Kita tidak mengkaji diri, sebaliknya kita membiarkan Tuan menyinari kita dan mendedahkan kelemahan, kesilapan, dan kekurangan kita. Doa sebegini bukan hal memohon tetapi hal menerima. Kita menerima transfusi, pencahayaan, dan pendedahan Tuan. Selain itu, kita membenarkan Tuan menundukkan kita, menghancurkan, menduduki, memenuhi dan menepui kita.

Doa sebegini tidak bermaksud kita diam sepanjang masa. Kita masih boleh bercakap, tetapi kata-kata kita harus dikeluarkan daripada perasaan di dalam. Apabila kita merasai bahawa Tuhan ingin memenuhi kita, kita boleh berkata, “Tuan, aku rela membiarkan-Mu memenuhi roh aku dan juga minda, emosi serta tekad aku.” Apabila kita merasai bahawa bahagian dalaman kita tidak ditundukkan oleh Tuan, kita boleh berkata, “Tuan, minda aku tidak tunduk sepenuhnya kepada-Mu; emosi dan tekad aku juga tidak ditundukkan oleh-Mu. Tuan, tundukkanlah mana-mana bahagian minda aku yang masih belum aku serahkan, tundukkanlah mana-mana bahagian emosi yang belum berpaling kepada-Mu, dan tundukkanlah mana-mana bahagian tekad aku yang merdeka daripada-Mu.”

Persekutuan yang begitu dalam dan tenang membolehkan Tuan mencapai setiap bahagian diri kita agar kita ditunduk, dihancurkan, dimurnikan, diduduki dan dimiliki oleh-Nya. Pada masa berdoa inilah Tuan dapat berbaur dengan kita secara dalam dan menyeluruh. Inilah bagaimana kita mendoakan diri kita ke dalam Tuan, menyerap-Nya, bersekutu dengan-Nya, dan berbaur dengan-Nya. Inilah masa Tuan menyentuh minda, emosi, dan tekad kita, lalu kita ditundukkan, dimurnikan, dihancurkan, diduduki dan dimiliki-Nya. Selain itu, kita juga berbaur dengan Tuan, dan kehendak-Nya diwahikan dalam kita, dengan itu Dia dapat mengurapi kita dengan beban untuk kerja-Nya.