“Semasa Yesus berada di Betania di rumah Simon pesakit kusta itu, ketika Dia duduk makan, datanglah seorang perempuan, yang mempunyai sebuah bekas pualam berisikan minyak narwastu murni yang amat mahal, lalu memecahkan bekas pualam itu dan mencurahkannya ke atas kepala Yesus. Tetapi ada beberapa orang dengan berang bercakap sesama sendiri: Mengapa minyak ini dibazirkan begitu?” (Mrk. 14:3-4).

Apakah maksud bazir? Bazir bermaksud memberi terlalu banyak, lebih daripada apa yang diperlukan. Sekiranya satu sen sudah cukup tetapi kamu memberikan satu ringgit, itulah maksudnya bazir. Bazir bermaksud kamu telah membayar harga yang terlalu besar untuk suatu perkara yang amat kecil. Sekiranya seseorang itu telah menerima sesuatu yang orang ramai rasa dia tidak layak menerimanya, maka itulah maksud bazir.

Di mata dunia, melayan Tuan sama sekali sesuatu yang membazir. Dia tidak pernah dikasihi oleh orang dunia; dalam hati orang dunia, Dia tidak pernah ada kedudukan. Oleh itu, bagi mereka, tidak kira kita memberi-Nya apa, semua itu ialah pembaziran. Banyak orang yang berkata begini, “Sekiranya orang itu bukan orang Kristian, sudah tentu dia agak berjaya di dunia ini!” Hal ini kerana di mata orang dunia, jika seseorang yang berkebolehan atau berbakat itu melayan Tuan, itu tindakan yang sungguh merugikan. Mereka berkata, “Orang yang amat berguna ini telah dibazirkan begitu sahaja!”

Maafkan saya kerana mengambil diri saya sebagai contoh. Pada tahun 1929, saya pulang ke kampung halaman saya dari Shanghai. Pada suatu hari, sedang saya berjalan dengan tongkat kerana badan saya lemah, saya terserempak dengan profesor saya semasa di universiti. Profesor saya memandang saya dari kepala sampai ke kaki dan dari kaki sampai ke kepala. Kemudian dia berkata, “Ketika kamu di universiti, kami semua amat memandang tinggi akan kamu, kami semua sependapat bahawa kamu akan beroleh kejayaan besar kelak. Siapa yang dapat percaya bahawa kamu menjadi begini!” Saya harus mengaku bahawa ketika saya mendengar kata-katanya, saya betul-betul hendak menangis sekuat-kuatnya. Ya, kerjaya saya, kesihatan saya, segala milik saya sudah habis. Sekarang pula saya terserempak dengan profesor undang-undang saya dan bertanya kepada saya begini, “Adakah kamu sanggup terus begini? Tidak ada apa-apa pencapaian, tidak ada apa-apa kemajuan, dan tidak ada sebarang prestasi?”

Akan tetapi, pada saat itu juga saya mengalami apa itu Roh kemuliaan Tuhan hinggap pada saya. Saya mengaku bahawa dalam seumur hidup saya, buat kali pertama saya mengetahui apa maksud kata-kata ini. Apabila saya terfikir bahawa saya dapat mencurahkan hayat saya demi Tuan saya, sukma saya dipenuhi kemuliaan. Saya dapat mendongak kepala saya dan berkata, “O Tuan, aku memuji-Mu! Tidak ada satu perkara yang lebih indah daripada ini; jalan yang aku pilih ini adalah yang terbaik!” Bagi profesor saya, melayan Tuan itu sesuatu yang membazir. Namun inilah matlamat injil—agar kita mempunyai penilaian yang sebenar terhadap kemestikaan Tuan.

Pandangan orang di dunia sentiasa adalah sedemikian. “Mengapakah kamu tidak menggunakan hayat kamu dengan lebih bernilai lagi? Kamu mempersembahkan diri kepada Tuan dengan sepenuhnya. Ini sudah keterlaluan!” Namun sekiranya Tuan adalah layak, masakan itu suatu pembaziran? Dia layak mendapat pelayanan orang. Dia layak memperoleh kita sebagai tawanan-Nya. Dia layak memperoleh kita untuk hidup demi-Nya. Dia layak! Sejurus selepas matamu terbuka untuk melihat nilai sebenar Tuan kita, maka tidak ada apa-apa yang terlampau baik untuk-Nya.

Tuan perlu membuka mata kita agar kita melihat nilai-Nya. Jika terdapat satu khazanah seni di bumi ini dan saya membelinya dengan harga tinggi, kemungkinan sebanyak seribu ringgit, sepuluh ribu ringgit, bahkan sejuta ringgit. Adakah orang berani mengatakan bahawa itu suatu pembaziran? Hanya apabila orang Kristian menjatuhkan nilai Tuan barulah mereka mempunyai fikiran pembaziran ini. Seluruh persoalannya tertakluk pada sejauh mana berharganya Tuan bagi kita? Sekiranya kita tidak menghargai-Nya, maka tidak kira betapa sedikitnya apa yang kita beri kepada-Nya, kita tetap berasa itu suatu pembaziran yang tidak patut berlaku. Akan tetapi, apabila kita benar-benar menghargai-Nya, maka tidak ada apa-apa yang terlampau baik atau terlampau mahal bagi-Nya. Bahkan apabila kita mencurahkan segala harta kita yang paling kita sayangi dan paling bernilai pada-Nya, kita tidak akan menganggap perbuatan itu memalukan.

Kamu boleh berdoa begini: Tuan Yesus, aku cinta pada-Mu. Bukalah mataku untuk melihat nilai-Mu yang sebenar dengan lebih banyak lagi, melihat bahawa Engkau layak! Tuan Yesus, pikatlah hatiku agar aku tidak menganggap bahawa mempersembahkan diriku itu suatu pembaziran kerana Engkau layak untuk aku persembahkan yang terbaik. Tidak ada apa-apa yang terlampau baik untuk-Mu. Tidak ada apa-apa yang tidak dapat aku curahkan. O Tuan Yesus, Engkaulah mestika unggul di alam semesta. Aku rela mencurahkan diriku, segala harta kesayanganku, pada-Mu. O Tuan, tidak ada satu perkara yang lebih indah dan lebih baik daripada ini yang dapat memuaskan aku!”

SATU PERBUATAN YANG LUHUR

S’panjang du-a puluh abad,
Ribu juta jiwa bernilai, harta tersayang,
Darjat yang tinggi, dan masa depan cerah,
Dibazirkan ke atas Tuan Yesus.
Bagi yang kasihi-Nya,
Dialah yang menawan,
Dia yang layak t’rima
S’gala persembahan kita.
Kita curah ke atas-Nya bukan bazir
Tapi kesaksian harum Persona-Nya yang manis,
Kita curah ke atas-Nya bukan bazir
Tapi kesaksian harum Persona-Nya yang manis.