“Hanya jangan memberontak terhadap Yehova, dan jangan takut akan bangsa di tanah itu kerana mereka makanan kita. Perlindungan mereka telah tersingkir daripada mereka, dan Yehova menyertai kita; jangan takut akan mereka.”

Bilangan 14:9

Ayat Bible yang dipetik daripada Wasiat Lama buku Bilangan ini memperlihatkan seorang teladan yang harus kita contohi. Namanya Kaleb, salah seorang daripada dua belas pengintip yang diutus umat Israel untuk mengintip tanah permai yang telah dijanjikan Yehova kepada umat Israel. Melainkan Yosua dan Kaleb, sepuluh pengintip yang lain menyampaikan laporan buruk kepada umat Israel apabila mereka pulang daripada pengintipan. Mereka berkata, “Tanah yang telah kami tujui untuk mengintip itu ialah tanah yang memakan penghuninya; semua orang yang kami nampak di situ orang yang bertubuh besar. Dan di situ, kami nampak orang Nefilim (keturunan orang Enak ialah sebahagian daripada orang Nefilim), dan kami seperti belalang di mata kami sendiri, dan demikian juga kami di mata mereka” (Bil. 13:32-33). Natijahnya, seluruh jemaah Israel gagal dalam hal ini. Mereka bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun, malah berniat merejam Yosua dan Kaleb yang giat menggalakkan umat agar memelihara iktikad dalam Tuhan.    

Catatan sejarah kegagalan umat Israel bukan sekadar kisah lampau. “Sekarang hal-hal ini berlaku kepada mereka sebagai contoh dan ditulis untuk menegur kita yang telah didatangi keakhiran zaman” (1 Kor. 10:11). Dari segi positif pula, kita boleh mempelajari iktibar daripada Kaleb. Ya, jika melihat dengan mata fizikal, penghuni di tanah itu sememangnya “orang yang bertubuh besar”, namun di mata Kaleb, mereka ialah makanan umat Tuhan. Dia bukan sahaja menghormati janji Tuhan, malah dia memandang ringan akan semua kesusahan. Setiap orang yang mempunyai iktikad yang sejati menghormati Tuhan dan memandang ringan akan semua kesusahan.

Setiap kali kamu menghadapi kesusahan, setiap kali kamu mendapati diri kamu dalam situasi yang serba salah, tanyalah diri kamu soalan ini: Adakah aku akan kebuluran di sini, atau adakah aku akan makan? Jika kamu bersandar pada Tuan untuk kemenangan dan membenarkan hayat-Nya yang jayeng ternyata dalam kamu, maka kamu akan mendapat pengkhasiatan yang segar dan kecergasan yang semakin bertambah, dan kamu akan diberi makan sekali lagi. Ingatlah bahawa orang yang tidak makan dengan baik tidak dapat bertumbuh sehingga mencapai kematangan. Makanan kita bukan sahaja sabda Tuhan, bukan sahaja melakukan kehendak-Nya; makanan kita jugalah orang Enak—kesusahan yang ada di jalan kita. Banyak orang telah makan sabda Tuhan dan banyak orang mengambil perihal melakukan kehendak Tuhan sebagai makanan mereka, namun mereka tidak makan orang Enak.

Saudara-saudari, kita lemah di hadapan Tuan kerana kita tidak makan orang Enak dengan secukupnya. Ada orang yang menghadapi dan mengatasi kesusahan demi kesusahan, godaan demi godaan; mereka penuh kecergasan kerana mereka telah makan orang Enak dengan secukupnya. Kita harus makan kesusahan kita dan godaan kita. Setiap kesusahan dan setiap godaan yang diletakkan Syaitan di jalan kita ialah makanan kita. Inilah cara Tuhan untuk kemajuan rohani kita.

Apabila orang yang tidak mempunyai iktikad melihat masalah, dia akan gentar dalam hatinya; namun mereka yang bersandar pada-Nya akan berkata, “Di sinilah makanan aku!” Puji dan syukur kepada Tuan, semua percubaan kita, tanpa kekecualian, ialah makanan kita. Setiap percubaan membawa pertumbuhan selepas kita memakannya. Semakin banyak kita menerima percubaan demi percubaan, semakin banyak kita dikhasiati dengan kayanya.