Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kebenaran Kristus Anak Manusia
Imanuel
Agama dan Tradisi Bertentangan dengan Kristus dan Wahi Kristus
Anak Manusia
2016-11-30 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Kita boleh mengalami dan menikmati Kristus bukan sahaja sebagai Tuhan tetapi juga sebagai manusia—Anak Manusia. Akan tetapi, sedikit sahaja orang Kristian yang mempunyai pengalaman yang istimewa dan halus terhadap Kristus sebagai manusia. Seolah-olah kita lebih mudah mengalami Kristus sebagai Tuhan daripada sebagai manusia.

Dalam keinsanan Kristus, Dialah Anak Manusia. Tuan Yesus dikandungkan daripada Roh Kudus, maka Dia Anak Tuhan. Tuan Yesus dilahirkan oleh perawan insani, maka Dia Anak Manusia. Dari segi kedivinan, Dia Anak Tuhan; dari segi keinsanan, Dia Anak Manusia. Untuk Kristus menggenapkan tujuan Tuhan, Dia perlu menjadi manusia. Tanpa manusia, tujuan Tuhan tidak dapat dilaksanakan di bumi. Dalam alam semesta ini, Tuhan mempunyai satu musuh, Syaitan. Namun Tuhan sebagai Pencipta, dalam keadilbenaran-Nya, tidak akan menanggulangi musuh-Nya, satu mahkluk ciptaan, secara langsung. Dia memerlukan makhluk ciptaan yang lain, iaitu manusia, untuk menewaskan musuh-Nya. Itulah sebabnya apabila Tuhan menjadi manusia dalam Yesus Kristus, Dia sentiasa mengambil kedudukan sebagai Anak Manusia apabila berhadapan dengan musuh.

Yesus Digoda agar Meninggalkan Kedudukan Manusia

Dalam Matius 4:3, Tuan Yesus digoda oleh iblis dalam keinsanan-Nya. “Dan penggoda itu datang dan berkata kepada-Nya, Jika Engkau Anak Tuhan, berkatalah supaya batu-batu ini menjadi roti.” Pada masa itu, Tuan telah berpuasa selama empat puluh hari sebagai manusia. Sekiranya Dia hendak menjalankan ministri-Nya demi penggenapan tujuan Tuhan, maka Dia harus berdiri di atas kedudukan manusia untuk menewaskan musuh, yakni iblis, Syaitan. Iblis amat jelas tentang hal ini, oleh itu dia berikhtiar menggoda Tuan untuk meninggalkan kedudukan sebagai manusia dan mengambil kedudukan Anak Tuhan. Oleh itu Iblis mencabar Tuan dengan berkata, “Jika Engkau Anak Tuhan….” Namun begitu, Tuan Yesus “menjawab dan berkata, Ada tertulis, ‘Manusia hidup bukan bergantung pada roti sahaja, tetapi pada setiap sabda yang keluar daripada mulut Tuhan’” (ay. 4). Iblis ingin menggoda Tuan Yesus agar mengambil kedudukan Anak Tuhan, tetapi Tuan menjawab dengan berkata, “Manusia…”, menunjukkan Dia berdiri di atas kedudukan manusia untuk menghadapi musuh.

Semasa Tuan Yesus dihakimi oleh majlis Sanhedrin ketika Dia sudah hendak disalibkan, Dia juga menghadapi godaan yang sama. “Hentar agung itu berkata kepada-Nya, Aku mengarahkan Engkau agar bersumpah demi Tuhan yang hidup dan beritahu kami sama ada Engkau Kristus itu, Anak Tuhan atau bukan. Yesus berkata kepadanya, Betul katamu. Namun, Aku berkata kepada kamu, Mulai sekarang kamu akan nampak Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Maha Berkudrat dan datang di atas awan langit” (Matius 26:63-64). Hentar agung menyoal Yesus sama ada Dia Anak Tuhan atau bukan, tetapi Tuan menjawab dengan menggunakan “Anak Manusia”. Ayat ini membuktikan bahawa Tuan bukan sahaja Anak Manusia sebelum disalibkan, tetapi Dia tetap Anak Manusia di syurga di sebelah kanan Tuhan selepas kebangkitan. Bahkan sewaktu Dia kembali di atas awan langit, Dia masihlah Anak Manusia (Matius 24:30).

Demikianlah ajaibnya status dan persona Yesus Penyelamat kita, seperti yang diluahkan dengan baiknya oleh kidung pujian di bawah:

Kidung #115

  1. Lihat! Yesus duduk syurga,
    Kristus Tuan ku bertakhta;
    Dia insan, dijunjung Tuhan,
    Hormat, mulia Dia t’rima.
  2. Dia memakai sifat insan,
    Mati dek murad Bapa;
    Terbangkit dengan tubuh-Nya,
    Tetap insan di syurga.
  3. Lihat! Insan duduk syurga,
    Tuan segala bertakhta;
    Dialah Yesus—Penyelamat,
    Mulia, hormat s’lamanya!
Imanuel
Agama dan Tradisi Bertentangan dengan Kristus dan Wahi Kristus
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)