Pada suatu petang, Tuan Yesus bertemu dengan seorang perempuan Samaria di tepi perigi. Perempuan itu enggan menimba air bersama dengan orang ramai di tepi perigi Yakub berdekatan dengan Sikhar. Waktu itu kira-kira jam keenam petang. Masa itu Tuan Yesus dalam perjalanan dari Yudea merentasi Samaria menuju ke Galilea. Selepas berjalan jauh, Dia berasa letih dan haus. Waktu itu waktu makan, maka Yesus berkata kepada perempuan itu, “Berilah Aku sesuatu untuk diminum.”

Menurut sejarah latar belakang orang Samaria, pada 700 tahun sebelum Masihi, orang Asyur menakluki bangsa Israel lalu mengambil alih Samaria. Pada masa itu, bani Israel menjauhi Yehova Tuhan yang disembah mereka lalu pergi melayan berhala asing. Raja Asyur menawan orang Israel ke Asyur; dia membawa masuk bangsa Asing dan berhala-berhala mereka ke Samaria. Lama-kelamaan, bangsa di situ semakin bercampur aduk dari segi darah dan kepercayaan mereka. Sejak itu, orang Yahudi yang sejati memandang hina akan orang Samaria. Oleh itu, dalam sejarah, orang Yahudi tidak mengakui orang Samaria sebagai kaum sebangsa mereka. Inilah sebabnya perempuan itu menjawab Tuan Yesus dengan berkata, “Bagaimana Engkau, seorang Yahudi, meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?”

Perbualan Tuan Yesus dengan perempuan Samaria itu amat menarik. Tuan Yesus meminta air daripadanya, namun pada masa yang sama Tuan berjanji memberi dia air hidup dengan berkata, “Barang siapa yang minum daripada air yang akan Kuberikan kepadanya pasti tidak akan haus buat selama-lamanya; tetapi air yang akan Kuberikan kepadanya akan menjadi sumber mata air dalamnya, yang memancur keluar ke dalam hayat abadi.” Dari satu segi, perempuan yang menimba air itu berasa sangsi terhadap Tuan Yesus dengan berkata, “Bagaimana Engkau, seorang Yahudi, meminta minum daripadaku…” Lagipun, “Engkau tidak ada timba, dan perigi ini dalam; jadi di manakah Engkau mendapatkan air hidup ini?” Dari segi yang lain, dia mendengar kata-kata Tuan Yesus yang menjanjikan ar hidup dengan berkata, “Berilah aku air ini agar aku tidak haus dan tidak datang ke sini untuk menimba air.”

Dalam perbualan yang kemudiannya, Yesus menunjukkan bahawa perempuan itu pernah mempunyai lima orang suami; dan yang dia ada sekarang bukanlah suaminya. Kata-kata ini amat mengejutkan perempuan itu kerana ada Seorang yang dapat menyatakan apa yang dilakukannya selama ini, di tepi perigi dia biasa menimba air. Akhirnya, perempuan itu dapat bersaksi kepada orang dengan berkata, “Bukankah Dia Kristus itu?” Kisah ini tercatat dalam Bible dalam Injil Yohanes, berkenaan seorang yang tidak bermoral memerlukan air hayat yang hidup untuk memuaskannya. Hal ini kerana punca segala kelakuan yang tidak bermoral ialah kehausan yang tidak hilang dalam diri manusia.

Inilah sebabnya mengapa perempuan itu pernah mempunyai lima orang suami dan yang dia ada sekarang bukan suaminya. Inilah sebabnya mengapa dalam seumur hidup kita, meskipun lima hajat kita telah dipenuhi namun kita tetap mencari-cari dengan penuh kehausan; malahan sampai hari ini kita masih tercari-cari. Kita masih haus kerana kita masih berada di tepi perigi dengan tangan yang memegang erat timba kita. Akan tetapi, di sini ada satu berita baik. Walaupun waktu sudah sampai jam keenam petang, namun hari ini di tepi perigi adanya Seorang; Dia ini tahu akan kisah seumur hidup kita, Dia tahu benar akan situasi kita yang sebenar, dan Dia memahami kehausan kita yang tidak hilang. Dia tidak menghakimi kita seperti hakim, Dia tidak mengajar kita seperti ahli moral. Dia duduk di tepi perigi menantikan kita. Dialah Tuhan namun Dia juga menempuh kehidupan manusia sama seperti kita. Dia bukan sahaja berupaya menghilangkan kehausan kita, bahkan yang paling melipurkan hati kita ialah Dia sama seperti kita: Dia pernah menempuh perjalanan yang berliku-liku, pernah keletihan, pernah kelaparan, dan pernah kehausan. Dia dapat membisikkan segala pengalaman hidup kita namun Dia tidak mengkritik dan tidak memandang hina akan perbuatan kita. Dia dapat menunjukkan sebab sebenar perbuatan kita, bahkan Dia memberi diri-Nya sebagai air hidup hayat kepada kita agar kita tidak lagi haus.

Rakan sekalian yang dikasihi, lepaskanlah timba di tangan kita. Meskipun perigi itu dalam, meskipun Tuan Yesus seakan-akan tidak ada timba di tangan-Nya (Hal ini kerana Dia tidak perlu menggunakan timba, kerana Dia sendiri ialah satu-satunya sumber mata air hidup yang menghilangkan kehausan kita), semoga kita sama seperti perempuan Samaria itu, dengan berkata dari diri dalaman kita, “Dia ini Kristus itu!” Marilah kita membuka hati kita untuk menerima Dia ke dalam kita agar Dia menjadi mata air dalam kita, yang memancur keluar ke dalam hayat abadi.

Kidung #254
1 Bertahun-tahun ku cari mata air
Yang limpah-ruah s’lamanya;
Hal-hal dunia tidak memuaskan jiwa
Bawa hampa, kecewa.
Korus Minum mata air hidup yang tak kering,
Minum ku di pancaran air divin;
Manis, girang, nikmat,
Limpah tak tersukat,
Minum dari mata a-ir hayat.
2 Tak lagi ku merantau dalam dosa,
Sumber hayat ku jumpa;
Cawan girang ku penuh dan berlimpah,
Kristuslah kepuasan ku.
3 Sini kepuasan makin manis, kaya,
Penuh damai sentosa;
Sini pelipuran berlipat ganda,
Hati ku sungguh bah’gia.
4 Sini nikmat bekalan tiada batas,
Terendam dalam kurnia;
Ku disembuh ker’na minum air hayat
Yang mengalir s’lamanya.